PESAN ANWAR SEMPENA AIDILFITRI – BERSEDERHANA, TUGAS KITA MENGEMUDI PERUBAHAN BELUM LAGI SELESAI

 

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, wa lillahi al-hamd.

Sambutan Aidilfitri pada tahun ini sekali lagi akan diraikan dalam suasana yang serba terbatas. Anak perantauan yang diulit rindu kepada keluarga tersayang terpaksa memendam hasrat pulang ke kampung halaman meskipun sudah lama tidak bersua, semuanya demi menjaga keselamatan dan maslahat awam.

Namun untuk rakyat yang miskin dan susah, ketiadaan bantuan dalam PKP 3.0 kali ini akan menjadikan hari raya mereka sama sahaja seperti hari-hari yang lain.

Keperitan menanggung kerugian, dibuang kerja dan hilang mata pencarian masih membekas dalam sanubari mereka.

Begitu juga dengan pengagihan bantuan zakat fitrah kepada para asnaf yang diharapkan dapat memberi sedikit kelegaan.


Tujuan di sebalik pensyariatan zakat adalah untuk mengukir senyuman bahagia di wajah para penerima, kerana Islam melihat bahawa setiap hamba itu, samada yang miskin ataupun yang kaya, berhak untuk bergembira pada 1 Syawal.

Justeru raikanlah Aidilfitri ini secara sederhana, dan jangan biarkan didikan madrasah tarbiyah Ramadan selama sebulan itu beransur pudar.

Ingat, tugas besar kita masih terpahat kemas di pundak untuk mengemudi arus perubahan.

Maka biarlah perubahan itu didukung oleh hati nurani yang jernih, yang cintakan keadilan dan yang kasih kepada rakyat.

Di kesempatan ini, saya dan Azizah sekeluarga memohon maaf dengan penuh keikhlasan atas segala kekhilafan.

Semoga Allah SWT memberkati usaha kita, dan semoga diangkat kezaliman dan penderitaan daripada warga yang tertindas di mana sahaja.

Taqabbal Allahu minna wa minkum salih al-a’mal.

Kullu ‘am wa antum bi khayr.

ANWAR IBRAHIM