MAHIADDIN KINI LEBIH BAHAYA DARIPADA NAJIB, MENJATUHKANNYA SUDAH JADI SUATU KEWAJIPAN

 

Pada 31 Mac lalu, kerajaan telah mengemukakan pindaan Ordinan Darurat yang memberikan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menambah perbelanjaan tanpa melalui kelulusan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Pindaan itu memberi kuasa sepenuhnya kepada kerajaan untuk berbelanja tanpa had dan tanpa dibentang, dibahas dan dipantau oleh Dewan Rakyat yang diwakili oleh Ahli-Ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihanraya.

Dengan itu, kebimbangan ramai bahawa darurat yang dicadangkan Mahiaddin Md Yasin memungkinkan ia disalahgunakan dan tidak khusus untuk menangani Covid19 mula menampakkan ada asasnya.

Mengguna dan membelanja wang negara tanpa kelulusan Parlimen, tidak mustahil juga dilakukan secara sesuka hati, adalah pencerobohan paling besar dari segi amanah dan kebertanggungjawaban bagi sesebuah kerajaan.

Boleh mengambil wang sesuka hati dan boleh juga berbelanja sesuka hati tanpa perlu membentangkannya ke Parlimen di ketika sokongan majoritinya telah tiada, bolehkah Mahiaddin dipercayai akan bersikap jujur dan berwatak seperti malaikat dari segi penggunaannya?

Semalam pula, satu lagi pindaan Ordinan Darurat berkaitan kewangan telah dilakukan Mahiaddin iaitu dengan meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Menurut Akta KWAN 1988, dana kumpulan itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan daripda royalti Petronas.

Dalam ulasanya, bekas Perdana Menteri, Najib Razak menjelaskan, objektif penubuhan KWAN adalah untuk memastikan penggunaan optima hasil sumber-sumber asli negara yang menyusut agar dapat memberi sumber pendapatan yang berterusan dan stabil demi faedah negara dan generasi akan datang.


Katanya, berdasarkan peruntukan Akta KWAN 1988, pihak-pihak yang wajar membuat sumbangan termasuklah Petronas atau sumber-sumber menyusut yang lain dan pihak yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan sumber-sumber alam semulajadi.

“Sejak ditubuhkan, hanya pernah ada satu pengeluaran dibuat kerajaan melalui KWAN iaitu sebanyak RM42 juta untuk projek pemeliharaan tanah dan ekosistem Wetland Sanctuary di Putrajaya.

“Masa saya PM, tiada pengeluaran pernah dibuat daripada KWAN,” tambah beliau.

Menurut Najib lagi, saiz dana KWAN telah berkembang hampir 4 kali ganda dari RM4 bilion menjadi lebih RM16 bilion pada akhir tahun 2017 berikutan hasil sumbangan yang tinggi daripada Petronas serta pulangan pelaburan yang semakin meningkat.

Persoalan di sini, untuk apa dana KWAN mahu dikorek bagi perolehan vaksin dan program imunisasi, sedangkan peruntukan RM3 bilion sudah diluluskan untuk membeli vaksin pada Belanjawan 2021 yang lalu?

Betulkan dana KWAN itu mahu diambil untuk vaksin dan imunisasi?

Apakah jaminan ia bukan dijarah untuk perkara-perkara lain bagi kepentingan politik Mahiaddin, khusus untuk mengekal dan mempertahankan kuasanya?

Hanya dalam tempoh kira-kita dua bulan saja setelah darurat dikuatkuasakan, sudah dua pindaan undang-undang berkaitan kewangan dilakukan Mahiaddin yang berselindung di sebalik proklamasi darurat.

Tanpa ragu-ragu lagi ini adalah tanda paling bahaya sedang menerpa negara kita.

Menjelang 1 Ogos akan datang, tidak mustahil lebih banyak lagi pindaan akan terus dilakukan oleh Mahiaddin dengan menggunakan hujah serta alasan darurat juga.

Akhirnya apa jadi kepada negara kita ini?

Apakah seorang Perdana Menteri boleh terus dengan bebas melakukan apa saja kepada negara ini dalam tempoh Parlimen digantung?

Yang nyata, hanya dengan dua pindaan tersebut saja, Mahiaddin kini sudah boleh dianggap lebih bahaya berbanding Najib dahulu.

Jika Najib dahulu dikatakan merbahaya kepada masa depan negara kerana skandal 1MDB, sebaliknya Mahiaddin kini dengan dua pindaan undang-undangnya yang memberinya hak mengguna dan berbelanja wang negara sesuka hati itu, beliau boleh terdedah kepada perlakuan yang mungkin 10 kali lebih besar daripada 1MDB.

Ibarat seseorang yang boleh mengambil dan berbelanja sesuka hati wang yang bukan miliknya tanpa boleh disoal dan ditanya oleh sesiapa, tidakkah ini sebesar-besar bahaya sedang mengancam kita semua?

Maka itu, sebagaimana rakyat Malaysia telah bersatu hati menjatuhkan Najib pada PRU14 lalu, menumbangkan Mahiaddin, baik melalui tekanan yang berterusan atau menunggu pengundian dalam pilihanraya akan datang, keperluannya sudah dikira suatu kewajipan.

Tidak harus ada kompromi langsung kalau kita tidak mahu anak cucu kita semua merempat dan mereka tiada masa depan lagi meneruskan kehidupan di negara ini. 


(Shahbudindotcom 22/04/2021)





No comments: