Hakim tidak berat sebelah, ikut undang-undang ketika jatuhkan hukuman kepada Najib

 

Ridauddin Daud
Hakim tidak berat sebelah, ikut undang-undang ketika jatuhkan hukuman kepada Najib
Datuk V Sithambaram memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa beliau berasakan tindakan pasukan peguam bela Najib menyerang Mohd Nazlan adalah salah. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak bersikap berat sebelah ketika menjatuhkan hukuman kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes dana SRC International Sdn Bhd.
Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoc, Datuk V Sithambaram memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa beliau berasakan tindakan pasukan peguam bela Najib menyerang Mohd Nazlan adalah salah.
Tegasnya, Mohd Nazlan hanya menjalankan tugas mengikut undang-undang dan berpandukan kepada bukti dan saksi yang dibawa ke mahkamah.
"Tiada asas untuk mengatakan hakim adalah 'pendakwa raya kedua' atau benar-benar tidak kompeten.
"Penyerahan (dokumen kepada hakim) ini dibuat untuk menyelamatkan integriti penilaian kehakiman dan konteks yang lebih luas, untuk memastikan bahawa pentadbiran keadilan tidak dengan cara apapun dipertikaikan," katanya.
Beliau berhujah di hadapan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil di Putrajaya pada Khamis.
Dua lagi ahli panel bagi prosiding rayuan itu ialah Datuk Vazeer Alam Meera Mydin dan Datuk Has Zanah Mehat.
Tambah Sithambaram, kes melibatkan Ahli Parlimen Pekan itu adalah kes penting dan masyarakat mengikuti kes berkenaan.
Tegasnya, ia memberikan imej yang tidak baik apabila hakim dikatakan berat sebelah dan tidak kompeten sedangkan tuduhan sebegitu tiada asas.
"Perayu (Najib) menyerang penghakiman dan mendakwa ia berat sebelah.
"Saya pasti itu semua (dakwaan) adalah tidak benar," tegasnya.
Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.
‪Keputusan disampaikan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mahkamah mendapati pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan bagi tuduhan salah guna kuasa.



No comments: