Kenapa perlu ‘jarah’ dana amanah untuk vaksin, soal Najib

 

Najib Razak berkata ketika beliau menjadi perdana menteri Kumpulan Wang Amanah Nasional berkembang hampir empat kali ganda menjadi lebih RM16 bilion.

PETALING JAYA: Najib Razak mempertikaikan perlunya dana tambahan untuk membeli vaksin susulan ordinan darurat baharu diluluskan yang membolehkan kerajaan menggunakan kumpulan wang amanah kebangsaan bagi tujuan itu.

“Saya tiada masalah jika pindaan pada Akta KWAP hari ini adalah untuk tujuan vaksin Covid namun saya ada keraguan apa yang terjadi kepada peruntukan sebanyak RM3 bilion dalam belanjawan tahun 2021 yang diluluskan dalam Parlimen pada tahun lalu,” kata bekas perdana menteri di Facebook.

Kenyataannya itu merujuk kepada jumlah yang telah diperuntukkan bagi pembelian vaksin.

Menurutnya, Putrajaya sebelum ini berkata peruntukan RM2 bilion itu mencukupi untuk memvaksin 83% rakyat Malaysia, manakala RM1 bilion akan digunakan untuk menyimpan dan mengagihkan vaksin berkenaan.

Bagaimanapun, selepas darurat diisytiharkan, peruntukan RM3 bilion untuk vaksin ditambah kepada RM5 bilion atas alasan kerajaan mahu mempercepatkan sasaran untuk memvaksin 80% daripada 32 juta penduduknya sebelum Disember dan bukan Februari 2022 seperti dirancang.

Najib menyoal kenapa tambahan RM2 bilion diperlukan untuk memendekkan tempoh vaksin itu sekadar dua bulan.

“Apa telah terjadi dengan peruntukan asal RM3 bilion untuk vaksin dalam bajet 2021, dana dari hasil penjualan aset negara (dan) rizab-rizab tunai kerajaan lain… sehingga dana KWAN (Kumpulan Wang Amanah Negara) perlu dijarah?” soalnya.

Najib berkata tiada pengeluaran KWAN ketika beliau menjadi perdana menteri, malah ia berkembang hampir empat kali ganda menjadi lebih RM16 bilion pada akhir 2017.

Kerajaan hari ini meluluskan ordinan darurat baharu yang meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 untuk membolehkannya digunakan bagi pembelian vaksin dan perbelanjaan berkaitan.

Dana yang ditubuhkan pada 1988 dan diuruskan Bank Negara Malaysia itu dilaporkan mempunyai aset bernilai RM16.9 bilion setakat akhir 2017, dengan Petronas sebagai penyumbang paling penting.

Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 yang diwartakan hari ini antara lain menyatakan dana itu boleh digunakan untuk pembelian vaksin dan perbelanjaan berkaitan bagi epidemik sebarang penyakit berjangkit seperti dikhususkan di bawah Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)”.

Ordinan itu berkuat kuasa serta-merta.