Panas! MT Umno persoal Pas ‘main kayu tiga’
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini membalas teguran Datuk Takiyuddin Hassan dengan melontarkan pertanyaan kepada Setiausaha Agung Pas itu ‘apakah main kayu tiga bukan konspirasi?’
Menurut Puad, persoalan itu sepatutnya perlu dijawab oleh Takiyuddin.
Puad berkata demikian susulan Takiyuddin membangkitkan isu “Legasi paling murni seorang pemimpin sejati”.
Menteri Undang-undang itu merujuk saranan Puad supaya Ahli Parlimen Umno tarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan seperti itu sepatutnya PPBM yang komen, tetapi Setiausaha Agung PAS pula yang berbunyi,” bidas Puad melalui Facebooknya.
Menurut Takiyuddin, legasi paling murni ialah pemimpin itu mempertahankan penyatuan dan perpaduan dan ia mesti berasaskan kejujuran. Jika tidak, ia adalah konspirasi.
“Tidak pasti siapa pemimpin legasi yang Takiyuddin maksudkan. Tidak mungkin saya. Saya hanya ahli politik biasa yang bersuara ikut “hati nurani” saya,” kata Puad.
Puad juga tidak fikir cadangan tarik balik sokongan daripada Muhyiddin sebagai PM membawa kepada perpecahan.
“Ini untuk rakyat, kerana janji memudahkan rakyat tidak dipenuhi.
“Apabila Pas berkawan dengan DAP, apakah itu perpecahan Melayu? Apabila Pas berpisah dengan DAP, ia juga tidak dianggap sebagai perpecahan masyarakat dan negara.
“Peluang penyatuan terbesar ialah apabila Umno-Pas tandatangan Piagam Muafakat Nasional. Peluang itu akan terlepas begitu sahaja kerana banyak sangat pakatan, gagasan dan gabungan yang mahu disertai.
“Takiyuddin adalah betul dalam soal kejujuran politik. Tanpa kejujuran politik Ia adalah konspirasi,” tambah beliau.
Sebenarnya, kata beliau Ahli Parlimen Umno sudah bersikap jujur kerana menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri walaupum dia terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Umno di PRU ke-14.
Bahkan katanya, Datuk Seri Najib juga buat kenyataan jujur dan terbuka mengenai “sokongan bersyarat” terhadap Bajet di Dewan Rakyat.
“DS Najib juga secara jujur membuat kenyataan terbuka, jika tiada perubahan dan kerajaan PN terus berdolak dalik selepas satu tempoh yang munasabah, BN masih ada cara untuk bertindak.
“Semua itu terbuka. Tiada sembunyi sembunyi.
“Pas mungkin selesa, kerana dalam PN dan MN tiada Amanah (PAN). Tiada siapa kacau.
Justeru, yang perlu Takiyuddin jawab ialah, apakah main kayu tiga bukan konspirasi?” soal beliau.
Sebelum ini, Takiyuddin Hassan menegur Puad Zarkashi agar mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negara.
Takiyuddin berkata, legasi paling murni bagi seorang pemimpin sejati adalah merangka dan mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negaranya.