Jalankan siasatan rapi, heret kartel daging ke muka pengadilan - Anwar

 


Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan dan penguatkuasa mengambil tindakan segera terhadap kartel daging yang didalangi kakitangan agensi kerajaan.

Presiden KEADILAN itu berkata, pendedahan tersebut menunjukkan gejala rasuah sedang berleluasa dalam kakitangan kerajaan, malah menjejaskan reputasi Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) selaku badan pemantau.

"Ini ternyata satu kegiatan yang tidak bermoral tatkala kita harus pertingkatkan segala usaha dan upaya kita dalam memerangi rasuah dan kebobrokan, namun kakitangan kerajaan ini mudah dibeli sekaligus mengabaikan tanggungjawab mereka kepada negara dan rakyat.

"Skandal ini ternyata telah merobek reputasi dan imej institusi itu yang diamanahkan memulia dan meningkatkan darjat Islam," katanya.

Justeru, Anwar meminta siasatan menyeluruh dan mahu kartel daging bersama mereka yang bersubahat dihadapkan ke mahkamah.

"Meski dikurniakan peruntukan yang bukan kecil hampir setiap tahun, namun skandal ini telah merosakkan kepercayaan umum kepada institusi tersebut.

"Saya menggesa kebobrokan seperti ini dihentikan. Saya juga mendesak kerajaan dan kementerian untuk segera menjalankan siasatan rapi, cekap, dan telus serta mengheret dalang ke muka pengadilan," katanya.

 

No comments: