Siapa kita nak julang, soal Mat Sabu, mempertegas sokongan kepada Anwar sebagai PM


Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, parti itu akan terus bersama PH dan tidak boleh bersendirian. (Facebook pic)

PETALING JAYA: Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengulangi pendirian parti itu untuk mengangkat Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Pakatan Harapan (PH) jika gabungan itu menawan kembali Putrajaya.

“Ada orang tanya saya, siapa kita nak julang? Saya nak beritahu di sini, 11 Ahli Parlimen Amanah sudah tandatangani SD (aku janji) untuk (lantik) Anwar sebagai perdana menteri,” tegasnya ketika ucapan penggulungan Konvensyen Amanah Nasional 2020 di Melaka hari ini.

Beliau menggesa akar umbi parti itu supaya terus mara ke hadapan untuk mencari seramai mungkin “kawan” bagi mengukuhkan angka sokongan 108 yang diperolehi PH ketika Belanjawan 2021 bulan lalu.

“Kita akan terus bersama PH dan kita nak rakan dan kawan yang ramai supaya kalau berlaku perubahan dalam tempoh terdekat, inilah formulanya,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad tidak mahu kepimpinan parti itu terlalu memikirkan soal kerusi dan jawatan ketika ini, tetapi terus menumpukan usaha menawan beberapa negeri yang dilihat berpotensi.

“Selepas PRU (ke-15) esok, kita tengok balik soal kerusi dan sebagainya. Sekarang itulah formula yang kita tegaskan.

“Kita lihat sekarang, ada peluang di Pulau Pinang kerana masalah perkauman pada 2008 sudah semakin reda dan UMNO bersama sekutunya PAS dilihat sudah tidak bernyawa ibarat bernafas dalam lumpur” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja turut menyatakan kekecewaannya terhadap beberapa pihak yang bertubi-tubi menyerang Anwar dan Dr Mahathir Mohamad selepas PH dilihat gagal mentadbir dengan baik sepanjang 22 bulan memerintah.

“Saya sedih, sejak beberapa bulan ini, imej Anwar dan Mahathir semakin buruk. Saya terkilan serangan kepada Anwar… Mahathir, padahal dua-dua ini pembangkang.

“Sepatutnya serangan ini kita tumpu kepada kerajaan PN. Kalau berterusan begini, yang percaya adalah pengkhianat,” katanya tanpa menyebut individu yang dimaksudkan.

Menutup ucapan, beliau menggesa akar umbi supaya menghakis ego masing-masing dan merapatkan saf dengan rakan PH untuk sama-sama menambat kembali hati pengundi.

“Ada orang kata, kalau dia (rakan PH) tak mahu dengar cadangan kita, kita keluar daripada gabungan.

“Saya nak tanya, kalau kita bersendiri, duduk seorang, adakah kita oleh menang pilihan raya nanti?,” soalnya.