Realiti pahit di sebalik Belanjawan 2021

 



Oleh: Redzuan Shamsudin



Rakyat Malaysia mungkin melihat isu Belanjawan 2021 di sekitar lulus atau tidak belanjawan itu dalam sesi pengundian pada 26 November 2020. Sekiranya lulus maka bertahanlah pentadbiran Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin untuk beberapa bulan akan datang. Andainya gagal maka Muhyiddin dan jemaah menterinya perlu mengemaskan barang-barang meninggalkan Putrajaya.

Namun realiti sebenar di belakang Belanjawan 2021 jauh lebih mencabar daripada survival politik Muhyiddin, Azmin Ali atau Hamzah Zainuddin semata-mata. Di sebalik belanjawan adalah kehidupan pahit rakyat Malaysia, khususnya warga marhaen. Adakah mereka mampu meneruskan hidup dengan kebiasaan sebelum ini; cukup makan, punya pekerjaan, mampu membayar pinjaman rumah dan kereta atau pun tidak?

Bina semula ekonomi

Pakar-pakar ekonomi memberi amaran Belanjawan 2021 gagal memberi fokus jelas terhadap usaha membina semula ekonomi yang tergugat akibat kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac hingga Mei lalu. Lockdown atau perintah berkurung tersebut sesuatu yang tidak wajar dilakukan di Malaysia pada waktu jangkitan Covid 19 di bawah 800 kes. Sedangkan pada ketika ini jangkitan melebihi 1,000 kes sehari tetapi kerajaan tidak mahu menutup ekonomi.

Ironinya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipuji rakyat kerana berjaya mengawal wabak Covid 19 pada Jun hingga Ogos lalu, hari ini tampil dengan kegagalan menyolok mata mengelakkan jangkitan besar-besaran ke atas rakyat Malaysia. Kerajaan yang dianggap berjaya itu juga merupakan punca tercetusnya gelombang ketiga jangkitan apabila cuba menjatuhkan pentadbiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal pada Julai lalu yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Manakala keengganan parti-parti pemerintah mengamalkan prosedur yang tegas semasa berkempen menjadi katalis situasi Covid yang tidak terkawal di Sabah. Kelemahan peraturan kuarantin wajib kepada jentera kempen parti-parti dari Semenanjung melengkapkan malapetaka dan memusnahkan pertahanan ‘pemutus rangkaian’ Covid di Malaysia Barat.

Natijahnya, ekonomi seluruh negara goyah sekali lagi apabila PKP Bersyarat dikuatkuasakan di Selangor dan Wilayah Persekutuan pada Oktober, seterusnya ke hampir sebahagian besar Semenanjung pada November.

Kesan buruk kepada rakyat

Apakah kesan buruk wabak Covid kali ini kepada rakyat? Berbeza dengan gelombang pertama dan kedua yang mana rakyat kurang dijangkiti dan rantaiannya lebih mudah diputuskan, para pemerhati ekonomi melihat PKPB kali ini tidak akan membawa hasil serupa.

Menurut mereka, rakyat semakin terdesak akan semakin kurang memikirkan risiko Covid. Mereka melakukan apa sahaja usaha untuk mencari wang. Di pihak kerajaan PN tidak sebagaimana pada Mac lalu, kerajaan membayar RM1,000 hingga RM1,600 kepada rakyat, kali ini tiada lagi keupayaan berbuat sedemikian.

Rakyat yang menyedari kekurangan itu meminimumkan kepekaan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid demi pekerjaan. Menyebabkan lebih banyak berlaku jangkitan. Rakyat pasrah dan hanya mempertimbangkan ongkos membeli makanan diri sendiri atau keluarga.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila para pekerja tidak pula mudah untuk melakukan proses saringan Covid. Ujian di hospital awam terbatas berikutan kekurangan kakitangan. Alternatif adalah ujian di hospital swasta. Bagaimanapun kos untuk melakukannya lebih RM200 dan di luar kemampuan kebanyakan pekerja kolar biru.

Bagi pekerja yang degil maka mereka lebih mudah menelan ubat paracetamol sekiranya menunjukkan gejala demam dan bekerja seperti biasa sehingga keadaan lebih parah berlaku. Hal ini menyebabkan strategi membendung Covid kelihatan kurang berkesan pada gelombang ketiga ini.

Pembuangan pekerja berleluasa

Pembuangan pekerja oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan satu lagi isu besar yang harus difikirkan secara mendalam. Kilang-kilang PKS yang biasanya kurang mengeksport dan tidak mendapat permintaan baik barangan domestik mengambil jalan mudah membuang pekerja sejak Mac lalu.

Tanpa mereka sedar apabila membuang pekerja yang sekian lama berkhidmat dan memiliki skil tertentu maka barisan produksi (production line) sesebuah syarikat tidak lagi akan mampu mengeluarkan produk secara efisyen kos dan berkualiti seperti sebelumnya.

Dalam hal ini, kerajaan wajar membantu PKS mengelakkan mereka daripada terus membuang pekerja. Selain mengekalkan bakat sedia ada dalam pekerjaan, kerajaan juga boleh membekalkan wang yang cukup kepada para pekerja untuk berbelanja dan kekal mengatifkan pusingan modal dalam negara.

Selain itu, terdapat isu yang kurang diberi tumpuan berkaitan PKS sebelum ini. Banyak tidak menyedari kurangnya syarikat bumiputera yang mendaftar dalam pengkalan data PKS negara. Sekiranya bantuan mahu disalurkan maka kerajaan mungkin gagal mengesan sebahagian besar majikan PKS dalam kalangan Bumiputera yang hanya 5% daripada jumlah keseluruhan berdaftar.

Bagi PKS yang berurusan dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), kerajaan PN perlu melihat beberapa pilihan untuk menyelamatkan mereka daripada kerugian besar. Terdapat laporan menyatakan bahawa GLC mempunyai terma-terma tertentu di mana mereka tidak perlu mengambil stok yang ditempah daripada PKS dalam keadaan malapetaka seperti pandemik Covid. Sekiranya syarikat PKS membawa hal itu ke mahkamah maka mereka akan disenarai hitam daripada menjadi pembekal.

Namun kepada syarikat PKS, sekiranya stok tidak diambil oleh GLC maka mereka akan mengalami kerugian dan terpaksa menutup operasi. Dalam hal ini kerajaan harus mengarahkan GLC agar mendapatkan situasi menang-menang antara mereka dan PKS.

Tanpa pelancong ekonomi terhenti

Selain itu, pemerhati ekonomi turut bimbang dengan tindakan kerajaan PN yang terus menutup pintu kepada kemasukan pelancong asing. Terdapat negara-negara yang tidak teruk dilanda Covid 19 dan para pelancong boleh dibenarkan masuk jika syarat dilonggarkan.

Menutup Malaysia daripada pelancong asing menyebabkan industri penerbangan terjejas teruk. Sektor penerbangan mempunyai kesan domino dalam ekonomi. Apabila pelancong tidak masuk maka pemandu teksi, hotel, pemandu pelancong, kedai cenderahati, restoran dan pelbagai cabang perniagaan akan terjejas.

Maka tidak hairan apabila CEO Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes turun padang melakukan gimik menghantar makanan melalui syarikat baharunya, Air Asia Food yang beroperasi seperti operator Grab Food atau Food Panda sebelum ini.

Pinda belanjawan demi rakyat

Dengan peruntukan untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang tidak begitu besar maka Belanjawan 2021 seharusnya dipinda dan ditambah baik.

Juga, kerajaan PN perlu memasukkan 6 cadangan yang utarakan oleh Pakatan Harapan pada 5 november lalu. Iaitu menambah peruntukan Kementerian Kesihatan untuk Covid 19 serta penyakit tidak berjangkit. Malangnya, hanya peruntukan untuk Covid sahaja ditambah tetapi bagi penyakit tidak berjangkit dipotong.

Kedua, memperkasa perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan bayaran kebajikan kepada golongan berisiko dan penganggur dengan meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000.

Ketiga, mencadangkan perlanjutan moratorium pinjaman sehingga 31 Mac 2021. Keempat, meneruskan program subsidi upah sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan melalui pelbagai program insentif untuk tempoh dua tahun kepada majikan dan pekerja dengan kos RM13 bilion.

Kelima, meningkatan perbelanjaan pendidikan. Keenam, perbelanjaan pembangunan untuk dua projek utama iaitu Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) serta menaik taraf infrastruktur air yang kritikal untuk Selangor, Kelantan dan Pahang.

Kebanyakan cadangan itu tidak dimasukkan oleh Menteri Kewangan dalam belanjawan yang dibentangkan pada 6 November lalu. Oleh itu, dengan mudah boleh diramal bahawa rakyat marhaen tidak akan beroleh banyak manfaat daripada belanjawan kali ini.

Ekonomi Negara juga sukar dijana tanpa projek awam berskala besar ketika enjin kedua, pelaburan swasta merosot dan tidak banyak syarikat besar yang mampu menyediakan projek menjana peluang pekerjaan.

Oleh itu, sekiranya Belanjawan 2021 enggan diluluskan oleh pembangkang maka rakyat harus sedar belanjawan itu perlu digubal semula untuk memperolehi nikmat yang lebih buat warga marhaen yang tidak terbela.