Pemaju projek Melaka Gateway, KAJ Development Sdn Bhd (KAJD)
menggesa kerajaan negeri Melaka supaya memberikan penjelasan terhadap arahan
untuk membatalkan projek mega tersebut pada 16 November lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas KAJD, Datuk Michelle Ong berkata kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka (UPEN) menyerahkan surat penamatan bagi Perjanjian Tebus Guna Tanah, namun tidak memberikan sebarang sebab kukuh.
Malah katanya, pegawai UPEN turut bertindak melekatkan notis penamatan di tapak pembinaan projek Melaka Gateway dan mengarahkan untuk mengosongkan kawasan itu dalam tempoh 14 hari.
“Kami mahu meneruskan projek ini kerana sudah berbelanja ratusan juta ringgit, menjalankan kajian secara terperinci dan melibatkan ramai pelabur asing. Malangnya, tiada sebab kukuh diberikan dan kami juga sudah cuba untuk mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri tetapi gagal.
“Kami meminta tempoh lanjutan namun kerajaan negeri tetap dengan keputusannya tanpa apa-apa sebab diberikan. Ini adalah projek yang penting dan kami mahu menyelesaikan isu ini tetapi jika ia akan melibatkan tindakan undang-undang, kami bersedia untuk berdepan dengannya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Pada masa sama, Michelle menafikan dakwaan bahawa pihak KAJD tidak membalas surat dari kerajaan negeri pada 12 Okt, sebaliknya menjelaskan bahawa mereka membalas surat pada 16 Okt.
“Ini adalah projek nasional, jika ia dibatalkan, ia bukan sahaja akan merosakkan perancangan projek tetapi juga memberikan persepsi negatif kepada pelabur asing terhadap Malaysia.
“Kami berharap kerajaan negeri Melaka dan kerajaan persekutuan memberikan pertimbangan terhadap segala faktor dikemukakan kami dan mengambil tindakan terbaik untuk negara,” katanya.
Projek Melaka Gateway merupakan projek mega berstatus projek nasional yang dilaksanakan oleh KAJD atas konsesi tebus guna tanah yang diberikan dan ditandatangani oleh kerajaan negeri pada 4 Oktober 2017.
Projek itu akan membangunkan tiga buah pulau buatan manusia seluas 609 ekar tanah yang terletak secara strategik di Selat Melaka dan memakan kos sehingga RM700 juta.
Pulau pertama akan dijadikan pusat pelancongan, pulau kedua akan menjadi sebuah pusat teknologi atau ‘Smart City’ dan pulau ketiga akan menjadi sebuah pelabuhan laut dalam di negeri itu.
Projek yang sudah lengkap 40 peratus ketika ini dijangka akan mencipta lebih 40,000 peluang pekerjaan dan menyumbang sehingga RM125 bilion untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Projek ini dibina dalam tempoh 10 tahun dan dijangka siap pada 2028.