Sogok jawatan: Siasat segera Muhyiddin - AMK Melaka

 


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Melaka menyeru agar pihak polis segera menyiasat Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin atas dakwaan cuba menyogok jawatan Penasihat Petronas kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam usaha mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional.

 Ketua AMK Melaka, Prasanth Kumar Brakasam berkata, sekiranya Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh disiasat atas laporan polis ke atas beliau maka siasatan juga perlu dilakukan ke atas Muhyiddin.

 "Jika Datuk Seri Anwar boleh dipanggil secepat yang boleh untuk siasatan berkenaan laporan polis senarai Ahli Parlimen yang tersebar maka saya percaya pihak polis boleh melakukan perkara yang sama terhadap PM kerana sehingga kini AMK Malaysia, AMK Johor, AMK Negeri Sembilan dan AMK Melaka telah pun membuat laporan polis mengenai isu ini.

 "AMK Melaka yakin pihak polis (dalam hal ini) akan bertindak adil dan menjalankan tugas secara profesional serta tidak tunduk kepada mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan.

 Prasanth berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap Muhyiddin berkenaan pendedahan 'penyogokan politik' dalam surat Usul Tidak Percaya yang dimuat naik di akaun Facebook dan Twitter milik Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini.

 "Setelah laporan polis dibuat bersama rakan-rakan seperjuangan di Balai Polis Ayer Keroh, saya ke IPD Jasin untuk memberikan keterangan dan menyatakan pihak polis harus menyiasat dengan kadar segera Tan Sri Muhyiddin yang cuba menawarkan jawatan GLC untuk mendapatkan sokongan Ahli Parlimen Gua Musang.

 "Perkara ini amat serius dan boleh menyebabkan negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan terancam akibat sogokan politik yang dibuat oleh PM Malaysia secara senyap-senyap untuk kekal berkuasa," katanya lagi.

 Sehubungan itu, AMK Melaka mahu pihak polis bertindak profesional dalam menjalankan tugas tanpa mengira pangkat atau jawatan individu yang melakukan kesalahan.

 

No comments: