Gabungan Reformis Malaysia (GRM) mengulangi pendirian bahawa dengan sesi mengadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta penyerahan dokumen sokongan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim menandakan proses pelantikan PM ke-9 adalah mengikut lunas perlembagaan serta bermula dengan lancar dan baik.
Demikian kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh GRM.
Mengikut kenyataan tersebut lagi, GRM menyedari wujudnya perang saraf dan meningkatnya serangan politik terhadap Anwar setelah diterima mengadap KDYMM Tuanku pada 13 Oktober.
“GRM faham dalam senario yang ada, kesemua pimpinan politik yang terlibat dalam episod ini terdiri dalam kalangan yang senior dalam politik Malaysia dan antarabangsa dan GRM yakin kesemuanya sedia memegang amanah mengutamakan kepentingan negara dan rakyat serta mempertahankan akhlak politik yang baik.
“GRM juga yakin Anwar sebagai ahli politik yang matang dengan daya tahan serta daya juang politiknya telah teruji sekian lamanya, malahan tidak timbul soal kegelojohan dan seumpamanya dalam proses tersebut.
“Kami ingin menyeru seluruh rakyat agar bersabar dengan proses yang ada serta menapis maklumat yang disebarkan dan membawa budaya ‘politik berakhlak’ dalam menangani krisis dan kemelut politik negara kini,” jelas kenyataan tersebut.
Kenyataan GRM tersebut turut menggabungkan Persatuan Rapat Rakyat, Pro98 Reformis, Otai Reformis, Jingga 13 Malaysia, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Pahlawan Malaysia, Gerakan Reformasi Veteran ATM, Persatuan Media Sosial, Gerak Aktif Sosio-Ekonomi Amal Kebajikan, Pertubuhan Gerakan Pejuang Negara Malaysia dan Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia.