PERALIHAN KERAJAAN BERDASARKAN PERLEMBAGAAN SEHARUSNYA DIPERCEPATKAN


 Tidak pasti sama ada ia sesuatu yang akan berlaku atau cuma khabar angin, tetapi ramai sekali bercakap mengenai rombakan kabinet sejak sehari dua ini.

Dikatakan rombakan kabinet itu akan dilakukan hari ini iaitu sehari sebelum MT UMNO mengadakan mesyuaratnya di Pahang esok.

Diperkatakan bahawa antara rombakan yang akan dilakukan ialah melantik pemimpin UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri serta menyusun semula perlantikan wakil parti itu dalam kabinet berdasarkan hireaki dan kedudukan mereka dalam UMNO.

Jika ia berlaku, bermakna beberapa pemimpin UMNO yang sebelum ini dilantik sebagai menteri tetapi tiada kedudukan dalam MT UMNO seperti Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan beberapa yang lain dengan sendirinya akan digugurkan.

Rombakan kabinet ini dipercayai dilakukan Muhyiddin Yassin dengan tujuan meredakan kemarahan UMNO terhadapnya yang memungkinkan tindakan menarik sokongan secara rasmi daripada kerajaan PN akan diputuskan dalam mesyuarat MT esok.

Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Dr. Aziz Bari, pakar perembagaan dan Ketua Pembangkang di Perak, rombakan itu tidak sepatutnya dipertimbangkan oleh Agong berdasarkan kedudukan majoriti Muhyiddin yang meragukan ketika ini.

“Dalam keadaan biasa, ia adalah hak istimewa Perdana Menteri, tetapi sekarang berbeza kerana tidak jelas apakah Muhyiddin masih memiliki majoriti.

“Oleh itu Agong berhak untuk menolak cadangan rombakan kabinet jika ia dicadangkan,” katanya lagi.

Selain itu, berdasarkan beberapa perkembangan mutakhir ini di mana beberapa pemimpin UMNO yang selama ini bersama PN dilihat tidak lagi menyokong Muhyiddin, adalah jelas majoriti yang dimilikinya untuk terus mengetuai kerajaan sudah tiada.

Antara pemimpin UMNO yang dilihat sudah berbeza nada itu ialah Zahid Hamidi, Najib Razak, Tengku Razaleigh Hamzah dan Nazri Aziz.

Dengan itu, kiranya benar rombakan kabinet masih mahu dilakukan, ia bukan saja tidak wajar, malah lebih berupa suatu bentuk sogokan.

Dalam keadaan majoriti atau sokongan terhadapnya sudah tiada, Muhyiddin sepatutnya meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen, bukan menawarkan lebih banyak sogokan jawatan melalui rombakan kabinet.

Dalam hal ini, selain Agong harus menolak jika ada rombakan dicadangkan Muhyiddin, baginda juga sepatutnya mengambil peluang ini untuk menyelesaikan segera kemelut politik negara daripada berterusan.

Penyelesaian yang sebaiknya ialah berdasarkan Perlembagaan di mana Muhyiddin yang tiada lagi sokongan majoriti wajar berundur dengan sukarela atau dinasihatkan berundur untuk membolehkan pihak lain yang memiliki sokongan majoriti dilantik sebagai Perdana Menteri.

Meskipun kita memahami ketika ini sedang dilaksanakan perintah PKPB di mana majlis mengadap ketua-ketua parti terhadap Agong turut ditangguhkan sehingga 27 Oktober, tetapi nampaknya semakin lama isu ini terapung tanpa ketentuan, selama itulah rakyat seluruh negara dalam kegelisahan.

Maka, penyelesaian segera melalui beberapa penyesuaian adalah sangat-sangat diperlukan dan sebagaimana yang dititahkan oleh Agong iaitu paksi kepada kaedahnya ialah Perlembagaan.

Daulat Tuanku!!(Shahbudindotcom 19/10/2020)