Masa untuk Anwar terajui negara

 


Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat paling layak menerajui negara ketika ini kerana beliau sudah mendapat sokongan majoriti dari ahli parlimen, kata Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak, Roland Engan.

 Beliau berpandangan, kerajaan yang diterajui Anwar akan bersifat inklusif dan akan memperjuangkan hak semua rakyat, tidak seperti kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 "Anwar layak menerajui kepimpinan negara sekarang kerana beliau bukan sahaja mendapat sokongan majoriti daripada ahli Parlimen bahkan perjuangannya ialah untuk keadilan bagi semua rakyat Malaysia.

 "Memandangkan Anwar dan PH berjuang untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, bahasa, budaya dan negeri berasaskan prinsip keadilan, demokrasi, amanah dan progresif, maka beliau adalah sangat layak dan sesuai untuk memimpin negara," katanya dalam kenyataan.

 Roland juga yakin bahawa kerajaan pimpinan Anwar akan menangani isu COVID-19 dengan lebih berkesan.

 "Perang lawan COVID-19 yang melanda setiap orang tanpa mengira agama, bangsa, agama, bahasa, budaya dan negeri pasti dapat ditangani dengan lebih baik oleh pemimpin yang berjuang untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

 Pada masa sama, Roland selaku Ketua Cabang KEADILAN Baram membidas pihak yang melabelkan Anwar seorang pemimpin gila jawatan perdana menteri, sebaliknya menganggap presiden KEADILAN itu sangat khuatir terhadap sikap 'double standard' yang sering diamalkan oleh kerajaan PN, terutamanya dalam soal prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani COVID-19.

 "Tanpa menegakkan prinsip keadilan dalam menguatkuasakan PKPB maka semakin ramai pemimpin kerajaan hari ini bebas melanggar SOP dan tidak didakwa, dan rakyat pula dikenakan denda tak berpatutan. Ini adalah pilih kasih dan tidak adil.

 "Oleh itu, KEADILAN Baram mengalu-alukan semua pihak yang menyokong perjuangan DSAI & PH untuk bekerjasama ke arah pembinaan negara-bangsa yang gemilang di bawah kepimpinan baru negara selepas ini," katanya.