Situasi Covid 19 di Sabah memburuk, perlukan bantuan segera - Anwar

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan supaya menyalurkan segala kekuatan dan bantuan kepada Sabah yang dilihat amat terkesan dengan kadar penularan wabak Covid-19 yang mendadak dalam tempoh tiga minggu lalu.

 Presiden KEADILAN menganggap perkara itu amat membimbangkan kerana sebanyak 54% kes Covid-19 di Malaysia yang dikesan meliputi kes dari Sabah sejak 1 Oktober lalu.

 Malah, kematian juga melibatkan dalam kalangan pesakit muda yang tidak berpenyakit.

 Justeru, Anwar menuntut kerajaan persekutuan supaya mengerahkan lebih banyak pasukan perubatan, sekali gus dapat memperkuatkan sistem kesihatan di Negeri Di Bawah Bayu itu.

 "Sistem kesihatan di Sabah yang kita telah sedia maklum kekurangan dana, staf dan sumber daya kini ditimpa dan dibanjiri dampak dari wabak Covid-19. KKM telah mengalihkan segala sumber yang ada ke Sabah, dan usaha ini tidak harus dibebankan pada kementerian sahaja.

 "Rencana ini memerlukan dukungan politik dan kepimpinan yang jelas, penglibatan NADMA dan beberapa kementerian lain bagi menggerakkan pasukan-pasukan perubatan dan kelengkapan perubatan yang diperlukan, mempertingkatkan aspek logistik bagi meluaskan lagi bantuan di Sabah.

 Anwar juga mencadangkan kepada kerajaan supaya membuat pengesanan secara besar-besaran di Sabah bagi mengelakkan lebih ramai yang dijangkiti dengan wabak Covid-19.

 "Para pakar juga telah meramalkan bahawa kita akan menyaksikan kadar jangkitan yang akan terus meningkat di Sabah tatkala virus tersebut terus merebak di kalangan warga.

 "Mereka juga telah mengesyorkan bahawa pengujian secara besar-besaran (massive testing) sebagai langkah yang ampuh dalam mengesan dan memisahkan mereka yang telah dijangkiti sebelum ia terus merebak.

 "Setelah 8 bulan kita mendepani wabak ini, saya fikir kita sepatutnya telah mampu dan punya keupayaan untuk menjalankan pengujian besar-besaran. Kementerian Kesihatan mesti mendedahkan kepada umum sebarang strategi yang diambil dalam membendung wabak ini di Sabah, apakah secara ianya secara pengujian atau langkah dan strategi yang lain," katanya.

 Pada masa sama, Anwar berharap kerajaan dapat menyediakan bantuan kewangan dan makanan segera, malah menggesa kerajaan supaya melanjutkan moratorium di seluruh negara.

 "Memandangkan hampir seluruh Sabah kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), saya menggesa kerajaan untuk memikirkan bantuan kecemasan berupa kewangan dan makanan kepada rakyat yang terkesan, dan ini sangat penting dalam memastikan warga yang terpinggir dapat meneruskan hidup.

 "Saya mengulangi gesaan saya sebelum ini pada kerajaan agar melanjutkan moratorium pinjaman ke seluruh negara sebagai langkah segera kepada rakyat dan PKS di seluruh negara," katanya.

 Anwar turut meminta KKM supaya mendedahkan segala data mengenai Covid-19 bagi memudahkan pakar-pakar kesihatan menganalisa dan mencari penyelesaian.

 "Adalah sangat penting bahawa segala data mengenai kes, pengujian dan kadar kematian dibagikan secara terbuka dengan pakar-pakar dan pegawai-pegawai kesihatan yang bekerjasama dengan pemerintah dalam mengekang wabak ini.

 "Kekurangan maklumat akan menghalang pakar-pakar perubatan di seluruh negara dari memberikan bantuan dan kepakaran yang mereka ada. Dasar dan kebijakan maklumat yang terbuka akan meningkatkan kepercayaan rakyat pada kerajaan, terutamanya dalam suasana pandemik saat ini," katanya.