BATALNYA MESYUARAT MN DAN MT UMNO HANYA MELEGAKAN MUHYIDDIN BUAT SEKETIKA....

 

Dua mesyuarat melibatkan UMNO dibatalkan di saat-saat akhir atas nasihat Majlis Keselamatan Negara atau MKN.

Semalam, mesyuarat Muafakat Nasional atau MN yang membabitkan UMNO dan Pas bagi membincangkan kemasukan Bersatu ke dalam gabungan itu telah dibatalkan, walaupun beberapa pemimpin kedua-dua parti telah sampai ke PWTC.

Hari ini pula, mesyuarat MT UMNO yang dijadual diadakan di Pahang juga dibatalkan pada saat-saat akhir.

Mesyuarat MT UMNO hari ini dijangka membuat pendirian berhubung sama ada parti itu mahu terus menyokong Muhyiddin Yassin atau beralih kepada Anwar Ibrahim.

Menurut Setiausaha Agung BN merangkap Setiausaha Bersama MN, Annuar Musa, kedua-dua mesyuarat dibatalkan atas nasihat MKN.

Bukankah Pengerusi MKN adalah Muhyiddin?

Dengan batalnya kedua-dua mesyuarat semalam dan hari ini, Muhyiddin dikira boleh menarik nafas lega di sebalik terdedahnya surat Zahid Hamidi yang disokong Najib Razak kepada Agong yang menyatakan sokongan mereka kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Sehingga ini, Zahid Hamidi dan Najib belum lagi tampil secara langsung menafikan surat tersebut, hanya jurucakap UMNO yang tidak dinamakan saja yang berbuat demikian.

Jika kedua-dua mesyuarat itu diteruskan, kedudukan Muhyiddin boleh terancam dengan sendirinya.

Melalui mesyuarat MN misalnya, isu kemasukan Bersatu ke dalam gabungan itu tidak mustahil akan ditolak mentah-mentah berdasarkan pendirian beberapa pemimpin utama UMNO seperti Zahid Hamidi, Mohamad Hasan dan Khaled Nordin yang keras menolak untuk bekerjasama dan enggan berterusan dibuli oleh Bersatu.

Penolakan kemasukan Bersatu itu tentu saja akan memalukan Muhyiddin dan seolah-olah kedudukannya sebagai Perdana Menteri tiada harga langsung di mata UMNO.

Apabila ia dibatalkan, selamatlah air muka Muhyiddin.

Mesyuarat MT UMNO hari ini dijadual membuat perakuan mengenai keputusan Biro Politik parti itu minggu lalu yang menimbang untuk meninggalkan PN, sambil memberi syarat-syarat baru kepada Muhyiddin, selain mahu persetujuan kerjasama selepas ini mesti dilakukan melalui perjanjian bertulis.

Berdasarkan wujudnya surat sokongan Zahid Hamidi dan Najib kepada Anwar yang tidak dinafikan sehingga ini serta keputusan Biro Politik UMNO mahu keluar PN, adalah tidak mustahil MT UMNO yang dijadual bermesyuarat hari ini akan membuat keputusan yang senada dengannya.

Pendirian UMNO ketika ini sangat jelas, mereka tidak mahu terus dibuli oleh Bersatu serta enggan berkongsi walau satu kerusi dengan parti serpihan lagi kecil itu.

Tambahan lagi, dengan orang-orang Zahid Hamidi dan Najib masih menguasai majoriti dalam MT UMNO, keputusan sedemikian bukanlah sesuatu yang mengejutkan sebenarnya.

Jika itu keputusan MT UMNO dan semalam pula kemasukan Bersatu ke dalam MN tidak dipersetuju, maka dua kali malulah Muhyiddin dibuatnya.

Tetapi, dengan kedua-duanya telah dibatalkan atas nasihat MKN yang pengerusinya adalah Muhyiddin sendiri, bolehlah beliau berasa lega sekarang ini.

Begitu pun, kelegaan ini hanyalah buat sementara saja, jauh sekali untuk Muhyiddin boleh berasa selamat untuk selama-lamanya.

Dengan beberapa siri pembulian sebelum ini, terakhir di Sabah dan kini berlaku pula di Perak, UMNO sebenarnya sudah sedia untuk berkerat rotan dan berpatah arang dengan ketidakikhlasan Bersatu dalam bekerjasama dengan mereka.

Cepat atau lambat, perkataan talak, cerai atau berpisah hanya menunggu masa saja untuk dilafazkan.(Shahbudindotcom 20/10/2020)



No comments: