Parlimen mungkin bubar, jangan bangkit isu calon PM selain Anwar


- kata Ronnie Liu
Isu calon Perdana Menteri (PM) dari Pakatan Harapan (PH) tidak perlu dibangkitkan lagi dalam suasana ekonomi yang mula meleset dan ketidakstabilan pemerintahan Perikatan Nasional (PN).
Bagi ADUN Sungai Pelek yang juga pemimpin NGO Otai Reformasi 1998, Ronnie Liu Tian Khiew, hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang layak dan perlu dinobatkan sebagai calon PM dari PH, bukannya Shafie Apdal atau sesiapa yang lain.
Hal itu penting katanya, jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat dan PH tidak boleh dilihat dalam keadaan tercari-cari calon PM.
"Sepatutnya isu calon PM jangan dibangkitkan lagi. Pandangan peribadi saya, kita semua dalam PH mesti menyokong Anwar Ibrahim sebagai PM. Kalau perkara ini masih belum atau sukar dibuat keputusan, maka rakyat akan hilang keyakinan terhadap PH yang kelihatan tidak mampu membuat keputusan.
"Jangan lagi berdolak-dalik. Saya telah bersembang dengan ramai penyokong dan pendokong PH dan semuanya bersetuju Anwar dijadikan calon PM ke-9.
"Di masa ekonomi dunia dan ekonomi negara mengalami kelembapan serta situasi wabak Covid-19 yang masih menular di seluruh dunia, kita di dalam koalisi PH mesti cepat memuktamadkan isu calon PM. Dulu sebelum PRU14, semua pihak telah bersetuju bahawa Anwar menjadi PM ke-8. Justeru, kita terus sahaja melaksanakan persetujuan ini," katanya dipetik.
Dalam pada itu, Ronnie memberitahu walaupun Malaysia berada pada tahap Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kembali membuka sepenuhnya aktiviti ekonomi, tinjauan di kedai-kedai runcit dan rangkaian pasar raya besar mendapati jumlah pengunjung berkurangan berbanding era sebelum PKP dilaksanakan.
"Sekarang orang membeli barang keperluan sahaja. Kedai barangan mewah kebanyakannya sunyi-sepi. Pelabur tempatan dalam situasi was-was serta belum bersedia melabur dalam projek besar-besaran. Semua orang berjimat disebabkan keadaan yang tidak menentu. Ekonomi negara amat perlu dibaik-pulih pada kadar segera.
"Umum tahu dalam PN, percaturan politik sedang berlaku di antara beberapa puak. Ini bermakna situasi dalam PN tidak stabil. Siapa berani melaburkan modal dalam keadaan seperti ini?
"Kalau situasi begini terus berlanjutan untuk 3 tahun lagi, maka susah untuk rakyat dan negara kita.
"Oleh itu, apabila berdepan dengan pihak lawan seperti PN yang tidak stabil, kita dalam PH mesti memberi rakyat satu isyarat kestabilan dan keyakinan dengan nama Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan kita harus memberi satu penetapan tegas dalam isu ini," katanya lagi.
Isu calon PM daripada PH masih dirundingkan oleh parti-parti komponen yang berhasrat untuk mengembalikan kerajaan mandat rakyat Mei 2018. Namun banyak pihak berpendapat, Umno dan Pas akan mendesak PM Muhyiddin Yassin untuk membubarkan Parlimen pada hujung 2020.
Oleh itu, strategi yang paling tepat bagi PH ialah memuktamadkan Anwar sebagai satu-satunya calon PM untuk ditawarkan kepada pengundi kerana mengambilalih semula kerajaan dilihat agak sukar berlaku.

Imej mungkin mengandungi: 1 orang, teks

No comments: