Kekang kebebasan akhbar: Muhyiddin mahu jadi lebih teruk dari Najib?


Kenyataan Media oleh Wong Shu Qi, Ahli Parlimen Kluang pada 22 Julai 2020 (Rabu) di Parlimen
Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ‘memotong’ Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin terburuk dalam kebebasan akhbar?
Saya terkejut dengan tindakan terbaharu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah mendenda Astro kerana menayangkan sebuah filem pada 2015. Hari demi hari, pentadbiran Muhyiddin telah menunjukkan dirinya menjadi sangat antagonis terhadap kuasa keempat (fourth estate), contohnya: pihak media.
Mengapa SKMM mengambil tindakan hanya selepas lima tahun filem itu disiarkan? Filem oleh Al-Jazeera yang mendokumentasikan pembunuhan Altantuya Shaariibuu itu seharusnya lebih sensitif kepada Perdana Menteri ketika itu berbanding kerajaan sekarang. Adakah ini kes “lebih sudu dari kuah”?
Isyarat yang diberikan SKMM kepada semua pengamal media adalah jelas: ‘Abang besar’ sedang memerhatikan anda!
Ini merupakan pertikaian kedua melibatkan kerajaan dan Al-Jazeera setelah Tan Sri Muhyiddin mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada bulan Mac 2020. Adakah tindakan terbaru ini merupakan tindakan pembalasan berikutan filem terbaru Al-Jazeera “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”?
Sebelum ini, pada Mei tahun ini, seorang wartawan dengan South China Morning Post, Tashny Sukumaran telah dipanggil oleh polis setelah beliau membuat liputan mengenai serbuan pihak berkuasa ke atas pekerja migran.
Walaupun Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato Seri Saifuddin Abdullah telah mengarahkan pihak berkuasa untuk tidak menyiasat kes ini dengan lebih lanjut, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat peningkatan gangguan dan penindasan terhadap media sejak Tan Sri Muhyiddin mengambil alih pada bulan Mac.
Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia telah meningkat selama dua tahun berturut-turut di bawah pemerintahan Pakatan Harapan. Malaysia sebelum ini hanya berada di kedudukan 145 dari 180 negara semasa pemerintahan Barisan Nasional pada tahun 2018. Namun, kita kini berada di kedudukan 101 dari 180 negara sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Adakah kita akan melihat kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia menurun secara signifikan dalam tempoh enam bulan? Jika ini berterusan, reputasi Malaysia dalam kebebasan akhbar hampir pasti akan merosot.
Dengan mendenda Astro kerana menayangkan filem Al-Jazeera mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu, adakah kerajaan Muhyiddin akan mengatasi kerajaan BN untuk menjadi kerajaan terburuk dalam soal kebebasan akhbar? Adakah kita secara perlahan-lahan bergerak ke arah penindasan media serta demokrasi di negara ini?