DASAR EKONOMI PH MEMBUAHKAN HASIL


1. Kejayaan Tabung Haji (TH) mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak RM1.25 bilion pada setengah tahun pertama 2020 adalah bukti kejayaan penstrukturan semula yang diilhamkan oleh Pakatan Harapan (PH). Bukan itu sahaja, nilai aset TH sebanyak RM78 bilion juga kini telah kembali lebih tinggi berbanding liabilitinya, dengan lebihan sebanyak RM1.9 bilion, walaupun sebelum Mei 2018 telah ditinggalkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam keadaan defisit.
2. Dalam tempoh hampir 2 tahun pemerintahan PH, pelbagai pembaharuan dan kejayaan telah dicapai. Kadar pengangguran secara amnya telah menurun ke lingkungan 3.2%-3.3% bagi setiap suku, berbanding 3.4%-3.5% pada suku tahun 2016 hingga 2017 bawah BN. PH juga telah memperkenalkan kembali subsidi petrol yang dimansuhkan oleh Najib Razak pada tahun 2014. Ini telah membantu secara signifikan terhadap usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, khususnya B40 dan M40. Pertumbuhan ekonomi negara (KDNK) juga telah menunjukkan keutuhan yang signifikan pada kadar 4.8% pada tahun 2018 dan 4.3% pada tahun 2019 walaupun dalam keadaan ekonomi global yang lembap.
3. Kebajikan sosioekonomi rakyat terus dibela oleh PH menerusi inisiatif-inisiatif seperti i-Suri yang mewujudkan skim KWSP berserta insentif untuk surirumah, mengembangkan skim perlindungan PERKESO kepada pekerja ekonomi gig dan memperkenalkan gaji minima RM1,200 di bandar-bandar besar. Kerajaan PH juga telah memperkenalkan 2 skim kesihatan yang sangat penting untuk golongan B40 iaitu Skim Perlindungan Kesihatan (PeKa) dan MySalam, iaitu skim insurans yang menyediakan perlindungan untuk 45 penyakit kritikal.
4. Pelaburan langsung asing diluluskan (approved FDI) juga mencapai tahap paling tinggi dalam sejarah ketika pemerintahan PH. Pada tahun 2019, approved FDI adalah RM82.4 bilion, manakala pelaburan domestik mencecah RM125.5 bilion. Bukan itu sahaja, pelaburan ke dalam tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan serta kimia dan dua bidang pertumbuhan tinggi iaitu industri aeroangkasa dan alat perubatan, menyaksikan pertumbuhan 90.2% ke RM40.9 bilion pada tahun 2019. Usaha PH mewujudkan persekitaran “business friendly” telah diiktiraf oleh Bank Dunia, di mana ranking Malaysia dalam indeks Doing Business 2020 telah meningkat kepada kedudukan ke-12, iaitu lebih tinggi berbanding negara-negara lain seperti Jerman, Kanada dan Finland.
5. Dari aspek memastikan pengurusan fiskal yang lebih telus supaya kesilapan ketika pemerintahan BN tidak diulangi, kerajaan PH telah mengemukakan maklumat mengenai hutang yang dijamin kerajaan dan liabiliti kontinjen dalam Laporan Tinjauan Fiskal negara. Selain itu, kerajaan PH juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang turut dianggotai wakil pembangkang untuk menilai belanjawan dan pengurusan kewangan kerajaan. Penilaian belanjawan pertengahan tahun turut dibentangkan ke jawatankuasa ini.
6. Selain TH, PH telah mengambil beberapa keputusan strategik untuk memulihkan dan memantapkan institusi-institusi lain seperti Khazanah Nasional, Felcra dan FGV Holdings. Hasilnya, Khazanah Nasional telah mencatatkan untung daripada operasi terbesar dalam sejarah pada tahun 2019 iaitu RM7.4 bilion. Selain itu, usaha telah diambil untuk merombak strategi pelaburan Khazanah Nasional yang sebelum itu berisiko tinggi kerana hampir 80%-85% nilai pelaburan tertumpu pada 9-10 syarikat sahaja.
7. Bagi Felcra pula, program transformasi perniagaan telah diperkenalkan untuk mengurangkan beban hutang dan kerugian yang dialami oleh institusi tersebut, dan ini dijangka membuahkan hasil bermula 2021. Di peringkat Felda dan FGV pula, program transformasi yang bermula pada suku ke-3 2018 telah membantu memantapkan operasi, menamatkan ketirisan dalam pembelian dan memulihkan pendapatan syarikat. Saham FGV turut meningkat setelah PH mengambil alih pentadbiran negara iaitu RM1.31 pada November 2019 berbanding RM0.64 pada Disember 2018.
8. Saya yakin dasar-dasar urus tadbir baik, telus, bersih dan cekap yang diperkenalkan oleh PH akan terus membuahkan hasil positif jika inisiatif-inisiatif berkenaan tidak diganggu oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN). Institusi-institusi penting negara perlu dipertahankan daripada kembali dibelenggu oleh pengurusan yang lemah dan korup sewaktu di bawah BN. Namun, ketidakstabilan politik kerajaan PN yang tidak mempunyai mandat yang sah daripada rakyat dan hanya memiliki majoriti tipis di Parlimen tidak mampu menarik keyakinan pelabur yang boleh menjejaskan sektor perniagaan dan pekerjaan dalam negara.
FAIZ FADZIL
23 JULAI 2020

No comments: