Segera bentang RUU Gangguan Seksual – Dr Wan Azizah
Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual sepatutnya telah dibentangkan pada sesi Parlimen Mac lalu sekiranya kerajaan Pakatan Harapan tidak digulingkan pada Februari 2020.
Menurut Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, RUU tersebut telah pun disediakan oleh kementerian yang diterajui beliau sebelum ini namun nasibnya tidak diketahui di bawah kerajaan Perikatan Nasional.
“Semalam, 21 Julai, saya mengemukakan soalan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkenaan perkembangan semasa RUU Gangguan Seksual bagi melindungi hak mangsa serta tindakan ke atas kes gangguan seksual sebelum RUU tersebut dibentangkan.
“Jawapan yang diberi KPWKM tidak memperincikan garis masa pelaksanaan RUU tersebut yang amat diperlukan memandangkan undang-undang sedia ada hanya mengawal selia jenayah gangguan seksual yang berlaku di tempat kerja tetapi sepatutnya merangkumi ruang
awam agar ianya bersifat lebih menyeluruh.
awam agar ianya bersifat lebih menyeluruh.
“KPWKM sebelum ini telah menetapkan sidang Mac 2020 untuk memperkenalkan RUU Gangguan Seksual. Akta ini merangkumi definisi gangguan seksual yang lebih menyeluruh dan mekanisme pengaduan dan penyelesaian yang lebih efektif, elemen remedi dan penalti serta mengesyorkan piawaian beban pembuktian yang bersesuaian serta adil buat semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru itu, Dr Wan Azizah yang juga merupakan mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggesa agar RUU Gangguan Seksual tidak ditangguhkan memandangkan keperluan mendesak akta berkenaan yang tidak diambil peduli oleh kerajaan BN sebelum ini.
“Saya menggesa KPWKM agar mengutamakan pembentangan RUU ini secepat mungkin kerana ketika ini kebanyakan mangsa kes (wanita, lelaki dan kanak-kanak) tidak mempunyai saluran yang tepat dalam membuat aduan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku,” kata Dr Wan Azizah lagi.
RUU Gangguan Seksual diperjuangkan oleh pelbagai pertubuhan wanita sejak 18 tahun lalu. RUU itu amat perlu memandangkan kanun keseksaan sedia ada hanya menangani beberapa bentuk gangguan seksual, antaranya rogol dan serangan seksual, manakala melalui Akta Kerja pula, ia merangkumi gangguan seksual di pejabat.
Terdapat kawasan ‘kelabu’, terutama apabila menyentuh gangguan seksual yang tidak bersifat fizikal atau pun di tempat awam.