BERSEDIAKAH ZAHID HAMIDI MEMBERI LALUAN KEPADA MUHYIDDIN AMBIL ALIH PRESIDEN UMNO


Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin perlu kembali menyertai UMNO demi untuk mengukuhkan parti terbesar orang Melayu itu, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz.
Menurut Nazri, semua ahli dan pemimpin UMNO perlu bersikap terbuka dan menerima Muhyiddin kembali menyertai parti itu.
Kata beliau, dengan kembalinya Muhyiddin ke pangkuan UMNO, banyak masalah akan dapat diselesaikan, antaranya pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS.
“Muhyiddin tidak tinggalkan kita (UMNO) tetapi dipecat dan sekiranya beliau kembali, sumbangannya amat besar kerana bawa balik jawatan Perdana Menteri kepada UMNO.
“Tidak berbangkit apa akan jadi kepada Presiden UMNO kerana yang penting adalah parti, kita kena terima dengan tangan terbuka,” katanya kepada Astro Awani.
Nazri mencadangkan, sekiranya Muhyiddin kembali ke pangkuan UMNO, jawatan presiden parti juga perlu diserahkan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.
Hujah beliau, secara tradisinya, Perdana Menteri adalah merupakan Presiden UMNO dan pemimpin serta ahli parti perlu menerima penyertaan semula Muhyiddin dengan tangan terbuka.
“Kita sebagai orang Melayu kena sentiasa sedia bermaaf-maafan demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
“Kita kena bagi jawatan Presiden UMNO sebab beliau kembali bukan dengan tangan kosong tetapi dengan jawatan Perdana Menteri, kita kena terima, kena berkorban dan menerima dengan terbuka.
“Saya seorang anak Melayu, pada saya tidak ada pengorbanan yang tidak boleh kita lakukan demi agama dan bangsa kita,” katanya lagi.
SHAHBUDIN HUSSEIN


No comments: