Hanya dalam tempoh dua hari, nada kenyataan Annuar Musa berhubung sokongan UMNO kepada Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dilihat sudah mulai berbeza.
Dua hari lalu, beliau berkata, secara prinsipnya Muafakat Nasional yang dianggotai UMNO dan Pas telah bersetuju menyokong atau mengekalkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri seterusnya.
“Di peringkat jawatankuasa bersama Muafakat Nasional yang saya Setiausaha Agungnya, memang betul apa disebutkan oleh Presiden Pas, Hadi Awang berkenaan perkara tersebut.
“Pendirian UMNO dan Pas dalam soal ini adalah pendirian yang sama.
“Saya sahkannya,” kata Annuar yang juga Setiausaha Agung BN serta Menteri Wilayah Persekutuan.
Semalam pula, Ahli MT UMNO itu berkata, sokongan Muafakat Nasional kepada Muhyiddin untuk terus menjadi Perdana Menteri hanya terhad jika pilihanraya mengejut diadakan dalam tempoh terdekat ini saja.
Beliau bagaimanapun tidak dapat menyatakan pendirian sebenar Muafakat Nasional terhadap Muhyiddin untuk tempoh yang jauh ke depan.
“Politik ini benda yang dinamik. Pendirian kita sekarang, kita menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Jika pilihanraya diadakan secara mengejut, kita bersama dengan Muhyiddin.
“Tapi selepas, itu, jika jauh ke depan, saya tak boleh jawab perkara yang terlalu jauh ke depan,” katanya lagi.
Pulakkkk?
Kenapa jadi begitu?
Apa bezanya menyokong Muhyiddin untuk pilihanraya mengejut yang mungkin diadakan dalam dua tiga bulan akan datang dengan pilihanraya sebenar yang bakal diadakan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi?
Mengapa sokongan yang konsisten dan berkekalan tidak boleh diberikan kepada Muhyiddin, tidak kira sama ada pilihanraya untuk mengejut atau pilihanraya sebenar?
Bukankah jika sokongan itu ikhlas dan Muafakat Nasional benar-benar ingin mengekalkan lagi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tidak kira bila pun pilihanraya diadakan, pendirian yang diberikan sepatutnya adalah sama?
Apakah ini bermakna Muhyiddin sedang disandiwarakan oleh Muafakat Nasional, UMNO dan juga Pas?
(Shahbudindotcom 08/07/2020)
(Shahbudindotcom 08/07/2020)