Saturday, May 23, 2020

Covid-19: Kerajaan PN gagal persiapkan rakyat hadapi Syawal


Kenyataan Media Bersama Nor Miswary Ramli (Timbalan Pengerusi DAP cawangan USJ, Subang Jaya) dan Iskandar Fareez (Mantan Ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan) pada Jumaat 22 Mei 2020.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam telah memutuskan untuk tidak membenarkan sama sekali pergerakan merentas negeri. Keputusan ini dicapai setelah 2,539 buah kenderaan diarahkan berpatah balik selepas cuba untuk merentas negeri seperti yang dilaporkan semalam.

Walaupun jumlah ini berkurangan berbanding 3,212 buah kenderaan yang direkodkan pada hari Rabu yang lepas, namun trend ini memperlihatkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuat perancangan dan persediaan awal apabila mengumumkan kebenaran untuk merentas negeri menjelang Aidlifitri ini.

Malah jumlah 1,300 orang yang memohon kebenaran polis untuk pulang ke kampung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang seperti yang dilaporkan semalam juga memberi isyarat bahawa rakyat masih mahu mencuba nasib kerana mendapati perlaksanaan arahan Kerajaan ini mempunyai lompong di sana-sini.

Kami percaya keadaan ini berlaku akibat kawalan saat akhir yang diambil Kerajaan hanya setelah mendapati rakyat berpusu-pusu cuba balik ke kampung selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan. Kerajaan seharusnya membuat larangan merentas negeri secara sepenuhnya lebih awal atau semasa Perdana Menteri mengumumkan lanjutan PKPB tempoh hari.

Kepincangan dalam mengeluarkan arahan kebenaran merentas negeri berkemungkinan akan mewujudkan lebih banyak kluster baharu akibat mereka yang hadir beramai-ramai ke balai polis berhampiran kediaman masing-masing untuk memohon kebenaran merentas negeri.

Perlu diingatkan, sikap kerajaan PN yang kerap kali mengeluarkan arahan separuh masak dan tidak mempunyai perancangan yang teratur pernah menyebabkan rakyat berpusu-pusu beratur di balai polis, berlakunya kesesakan di tol dan di lebuhraya serta kenaikan harga barang yang tidak terkawal sehingga terpaksa membuat pengumuman saat akhir senarai tambahan 19 barang kawalan pada musim perayaan yang hanya dibuat dua hari menjelang Aidilfitri.


No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers