INILAH BAHAYANYA BILA CENDIAKAWAN BERHINGUS MENJADI PEMIMPIN



1. Saya rasa Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Faysal contoh telah hilang arah akan perjuangan Bersatu. Malangnya sikap mereka ini bukan eksklusif buat mereka sahaja, malah terpakai juga buat ahli parlimen puak muhajirun yang menyertai Bersatu selepas PRU 14.
2. Tetapi, memandangkan penyertaan bidan terjun Labu dan Labi di waktu perjuangan Bersatu sudah berbuah, maka saya rasa ada baiknya saya menyekolahkan “cendekiawan berhingus” ini tentang budaya yang didokong Bersatu.
3. Bersatu ditubuhkan bukan semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan Kleptocrat Najib. Bersatu ditubuhkan sebagai parti pilihan buat bangsa Melayu yang menekankan budaya Maruah Melayu dan bukan kerakusan Ketuanan Melayu.
4. Maruah Melayu inilah yang berteraskan peradaban (civilization) dan menonjolkab sifat-sifat yang beradab, bersopan, beralas bila bercakap, bermusyawarah bila bertindak dan bermasyarakat dalam hidup. Hak Melayu adalah bertujuan memperkasakan Maruah Melayu dan mengembalikan peradaban Melayu, bukan untuk memperjuangkan Ketuanan Melayu.
5. Sepatutnya penggabungan Bersatu dengan Pakatan Harapan melalui persepakatan dan kerjasama rakan-rakan lain iaitu DAP, Amanah dan PKR dengan tujuan sama untuk menubuhkan sebuah kerajaan bukan kleptokrat.
6. Namun, kerana sifat tamak dan pengecut mereka-mereka yan sewaktu dengan Labu dan Labi ini, maka Bersatu dimomokkan dengan bayangan DAP, lantas menghancurkan penggabungan tersebut. Ibarat marahkan nyamuk, bakar kelambu.
7. Adakah ini dinamakan pemimpin bermaruah? Pemimpin yang tanpa segan silu melanggar akujanji lalu menghukum mereka-mereka yang ingin berpegang kepada janji?
8. Undang-undang dan perjanjian adalah apa yang memisahkan kita daripada binatang. Rakyat serahkan amanah mereka kepada kita agar kita dapat memimpin and menerajui negara ini berlandaskan undang-undang tersebut.
9. Sekiranya perjanjian dilanggar, saya khuatir apa lagi yang akan Labu dan Labi dan sekutu-sekutu mereka tergamak lakukan terhadap undang-undang selepas ini.
10. Jelas sekali, Labu dan Labi menyertai Bersatu semata-mata kerana tamakkan kuasa dan bukan bagi memimpin rakyat. Matlamat perjuangan langsung diabaikan hanya kerana tamakkan kuasa politik bagi menjaja Ketuanan Melayu.
11. Inilah bahana apabila diambil cendekiawan berhingus sebagai pemimpin, agar dapat menebus Maruah Melayu. Akhirnya, makan tuan.
Tariq Ismail
Ahli no 00051
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
22 Mei 2020.