USAHA KERAS CYBERTROOPERS DI SABAH GAGAL


Adi Parey


Saya tergelak membaca usaha keras tentera siber PN mencelarukan orang Semenanjung bahawa kononnya PN akan berjaya rampas Sabah.

Sebab mereka tak tanya pun sama ada ini hakikat di Sabah. Kenelah tanya orang Sabah. Jangan syiok sendiri.

Saya orang Sabah. Jadi saya kongsikan sedikit berkenaan sentimen politik di Sabah yang jauh berbeza dengan sentimen politik Semenanjung:

Secara asasnya perkara yang perlu difahami adalah politik Sabah (dan Sarawak) dan politik Semenanjung denyut nadinya jauh berbeza. Jangan anggap politik Semenanjung adalah sama dengan politik Sabah Sarawak.

1. FAKTOR PENOLAKAN POLITIK PERKAUMAN DAN KEAGAMAAN

Senjata untuk menguatkan PN di Semenanjung adalah senjata yang memakan diri di Sabah (dan Sarawak).

Sebagai contoh, di Semenanjung, PN mampu menaikkan saham politik PN dengan meniup sentimen "gabungan Melayu Islam". Tetapi malangnya buat PN, sentimen tersebut akan memakan diri di Sabah (dan Sarawak) kerana Sabahans (dan Sarawakians) paling benci pelampau agama atau pelampau kaum.

Jadi, makin dimain sentimen ke-Melayu-an dan ke-Islam-an PN, makin naik lah saham politik PN di Semenanjung tetapi makin jatuh lah saham politik PN di Sabah (dan Sarawak).

Buktinya Pas sejak tertubuh lima enam dekad yang lalu masih gagal tembus Sabah. Kita pun tahu apa laungan utama Pas- agama, dan kita pun tahu slogan itu telah gagal di Sabah (dan Sarawak) sejak berdekad lamanya.

2. FAKTOR PENOLAKAN 'ORANG LUAR'

Satu lagi sebab utama. Selain imej "pelampau agama dan palampau kaum", daripada tiga kepala utama dalam PN, iaitu UMNO, PAS dan Bersatu, tidak ada satu pun yang mampu menonjol diri sebagai "Sabahan". Semuanya membawa roh “parti Malaya”.

Imej parti Malaya ini juga sebenarnya terkesan tempiasnya pada Amanah. Akibatnya Amanah seolah-olah masih tidak wujud di Sabah. Malah DAP dan PKR yang menang beberapa kerusi dalam PRU12, PRU13 dan PRU14 kini sudah mula terpaksa bergayut pada Warisan untuk survival di Sabah, kerana kedudukan DAP dan PKR juga tergoyang akibat penolakan besar-besaran terhadap parti-parti Malaya.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin DAP PKR di Sabah kuat mempromosi tokoh-tokoh di peringkat Persekutuan seperti Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim dan seangkatannya. Logik saya rasa, sebab ini pemimpin utama dalam parti masing-masing.

Namun sejak PH tumbang, kini “bos” yang diangkat bukan lagi Presiden atau Ketua parti sendiri. Sebaliknya yang dikepit oleh pemimpin-pemimpin tertinggi DAP PKR di Sabah adalah Ketua Menteri Sabah yang merupakan Ketua parti berbeza (Warisan).

Ini kerana penolakan Sabahans terhadap “ekstrimis” dan "parti Malaya" melangkaui batas garis kepartian. Akhirnya PH (baca: DAP dan PKR) turut merasainya.

Sebenarnya Sabahans tidak kisah sama ada parti Malaya itu BN atau PR atau PH. Semuanya tidak disukai. Semuanya tidak akan dipilih sebagai pilihan utama. Pilihan utama tetap parti lokal parti Sabahan.

3. FAKTOR PIMPINAN PARTI TEMPATAN

Pada kedudukan sedia ada, Sabah dipimpin Parti Warisan. Dan Warisan telah berjaya menonjolkan diri sebagai parti tempatan yang disenangi majoriti Sabahans dalam dua tahun yang singkat.

Meskipun PKR dan DAP, seperti yang saya jelaskan tadi juga merupakan “parti Malaya” yang duduk dua tiga kerusi dalam Kabinet Sabah, dominasi Warisan dalam Kerajaan Sabah telah berjaya menghakis sentimen negatif tersebut. Ertinya Sabahans masih yakin bahawa meskipun ada “parti Malaya” dalam Kerajaan Sabah, parti-parti Malaya ini berjaya dikawal oleh parti tempatan Sabah sendiri iaitu Warisan.

Namun, jika PN berhasrat masuk Sabah, saya yakin Sabahans akan tolak secara besar-besaran kerana keengganan Sabahans dikuasai semula oleh Semenanjung sepertimana di era BN. Dalam PN, tidak ada parti Sabah yang mampu lebih dominan berbanding UMNO, PAS atau Bersatu.

4. SABAH DAN SARAWAK SAMA, BERBEZA DENGAN SEMENANJUNG

Sentimen ini juga sama di Sarawak. Perasan tak, GPS enggan mengaku sebahagian daripada PN meskipun telah sama-sama membentuk Kerajaan Putrajaya? Sebabnya mudah. Imej GPS sebagai parti tempatan Sarawak akan terhakis jika mereka mengaku mereka PN. Mereka tidak akan mampu lagi melaungkan slogan “Sarawak for Sarawakians” jika mengaku sebahagian daripada PN.

Buat masa ini, bagi GPS, musuh utamanya hanya DAP PKR kerana belum muncul musuh tempatan yang lebih kuat. Dengan mengekalkan GPS sebagai entiti tempatan yang tersendiri dan menjarakkan diri dari PN, GPS boleh tumbangkan DAP PKR dengan mudah, iaitu dengan cara menggendangkan laungan "Sarawak for Sarawakians".

RUMUSAN

Jadi penyokong UMNO PAS dan PN usahlah syiok sendiri. Warisan akan kekal memerintah Sabah, janji perjuangan Sabah tidak terkeluar dari landasan.

Terimalah hakikat bahawa Tuhan itu Maha Adil. Istilah "pendatang" yang selalu ditujukan oleh Melayu PN terhadap Cina India di Semenanjung sebagai modal politik, kini kena pada PN yang cuba masuk Sabah. Roda itu berpusing. Dulu sedap cop orang lain sebagai pendatang, sekarang kene anggap pendatang.

Pendatangs get lost from Sabah please 😂

Andrian Lim

No comments: