Ulama Pas buat siaran langsung solat tahajjud
Belum pernah dibuat orang di negara ini, seorang ulama Pas mengadakan solat tahajjud untuk tiga malam ganjil terakhir bulan Ramadan secara langsung di Facebook (FB).
Mulai semalam, bekas Timbalan Ketua Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani telah menyiarkan solat sunat yang dilakukannya itu menerusi FB Live dalam FB “Ustaz Ahmad Dusuki
Terdapat tiga klip video solat tahajjud yang telah dimuat naik antara jam 4.48 pagi hingga 5.19 pagi dengan kesemuanya berdurasi 31 minit.
Klip video kedua berdurasi 8 minit misalnya, telah mendapat 121,000 tontonan dengan 1,700 perkongsian setakat jam 10 pagi ini.
Siaran langsung solat tahajjud itu juga menyelitkan rayuan yang mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk apa yang disebutkan sebagai “operasi Media #USTAD” ke akaun Maybank Media An Nabawi 5621 0669 3250.
Di akhir aktiviti solat tersebut, rakaman video menunjukkan Ahmad Dusuki yang juga calon Pas untuk DUN Kota Anggerik pada PRU 2018 lalu membacakan doa kepada orang ramai serentak dengan paparan senarai 36 penaja untuk solat tahajjud hari pertama.
Rata-rata komentar di FB Live itu berharap Ahmad Dusuki yang juga anak saudara bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendoakan keluarga mereka serta orang tua yang sudah meninggal dunia.
Tidak kurang juga yang mendoakan agar Allah memudahkan urusan Ahmad Dusuki dan pasukan yang terlibat dalam siaran langsung solat sunat itu.
Melalui poster hebahan ‘Menikmati Tahajjud Mengejar Lailatul Qard” dimaklumkan siaran FB Live itu berlangsung daripada jam 4.30 hingga 5.15 pagi pada malam 25, 27 dan 29 Ramadan.