Hampir mustahil' kerajaan PN kekal hingga PRU15, kata Anwar



19 Mei 2020

Usaha untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, bagaimanapun ketua pembangkang Anwar Ibrahim berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) "hampir mustahil" akan kekal sehingga PRU akan datang.

Ditanya berkenaan jangkaannya jika kerajaan itu kekal sehingga tamat penggal ini, iaitu selama tiga tahun lagi, Anwar dalam wawancara bersama Bloomberg Television berkata: "Hampir mustahil. Tetapi bagi pembangkang, saya fikir apa yang penting adalah komitmen kita terhadap agenda reformasi."

Anwar turut mendakwa kerajaan PN "takut" terhadap kemungkinan usul undi tidak percaya yang dicadangkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan berjaya, seperti yang dilihat dalam langkah mengehadkan sidang Dewan Rakyat semalam kepada titah diraja Yang di-Pertuan Agong.

"Jika kerajaan sekarang ada keyakinan (sokongan majoriti), mereka akan mengadakan sidang Parlimen seperti lazimnya. Mereka tidak berbuat demikian.

"Mereka takut undi tidak percaya akan berjaya," katanya.

Aturan tempat duduk sidang semalam menunjukkan Muhyiddin mempunyai sokongan 114 anggota Parlimen, walaupun Anggota Parlimen Sri Aman Masir Kujat kemudian menjelaskan beliau masih sebahagian daripada pembangkang.

Ditanya sama ada beliau akan dinamakan sebagai perdana menteri atau tidak jika usul itu berjaya, Anwar hanya berkata beliau kini dalam usaha mengukuhkan pihak pembangkang dan komited terhadap agenda reformasi.

"Ini bukan isu personaliti. Orang cenderung untuk bercakap tentang personaliti.

"Kami di sini, kami terima mandat untuk melaksanakan pembaharuan struktur di negara ini," katanya lagi.

Beliau yang juga pengerusi PH berkata, rakyat Malaysia akan terus menggesa ke arah pembaharuan struktur dan bukan hanya perubahan kosmetik berkaitan individu yang dilantik ke tampuk kuasa.

"Rakyat bukan hanya mahu kita ambil alih. Ambil alih untuk apa? Hanya untuk tukar menteri?

"Pengambilalihan (adalah) melaksanakan pembaharuan yang berkesan. Bagi memastikan cukuplah dengan rasuah, pembaziran, kronisme dan kompromi terhadap kedaulatan undang-undang," katanya, selain menekankan kepentingan sistem untuk menjaga kebajikan majoriti. #MalaysiaKini