KERAJAAN ‘PASIR DUA BUTIR’ MUHYIDDIN TAK MUNGKIN DAPAT BERFUNGSI BAIK, WAJAR BERUNDUR SEGERA



Jika pada sebelah pagi di Dewan Rakyat semalam, sokongan Ahli-Ahli Parlimen terhadap Muhyiddin Yassin didapati berjumlah 114 berdasarkan jumlah yang duduk di barisan kerajaan, hanya beberapa jam kemudian ia telah berkurangan menjadi 113.

Ia berikutan Ahli Parlimen Sri Aman Sarawak, Masir Kujat berkata, tempat duduknya yang diletakkan di barisan kerajaan bukan berdasarkan pilihannya.

”Tempat duduk saya telah ditetapkan oleh Parlimen, saya tidak mempunyai pilihan selain duduk di tempat yang telah ditetapkan untuk saya.

“Tetapi, saya ingin menjelaskan bahawa saya adalah Anggota Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu atau PSB dan PSB adalah parti pembangkang di peringkat persekutuan dan negeri,” tegasnya.

Dengan jumlah 113 itu, bermakna Muhyiddin hanya mempunyai dua majoriti saja di Parlimen sekarang ini.

Ini adalah suatu kedudukan yang sangat lemah, lekeh, haprak serta tidak pernah dialami oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Dengan kata lain, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin ini layak digelar sebagai “kerajaan pasir dua butir” sebagaimana pernah didialogkan oleh Seniman Agung P Ramlee dalam salah sebuah filemnya.

Melihat kedudukan kerajaan yang sangat lemah ini, Muhyiddin tidak mungkin dapat berfungsi dengan baik sebagai Perdana Menteri kerana tidak ada sesiapa mempunyai keyakinan terhadapnya.

Pelabur luar dan dalam negeri, kakitangan awam, kelompok perniagaan dan orang awam, malah penganggur, lepasan univiersiti serta budak-budak sekolah pun tidak punya keyakinan yang sama.

Di Parlimen pula, selain usul undi tidak percaya sudah diterima dan bakal dibentangkan pada sessi Dewan Rakyat Julai akan datang lebih mungkin berjaya untuk menjatuhkannya, segala rang undang-undang dan usul kerajaan juga sukar untuk diluluskan.

Dua atau tiga orang Ahli Parlimen kerajaan tidak hadir, ia dengan sendirinya menyebabkan usul dan rang undang-undang kerajaan tersekat daripada dilaksanakan.

Akhirnya, kerajaan akan jadi tempang, tiada penambahbaikan serta tiada pembaharuan.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 5 Oktober nanti, jika sekiranya Muhyiddin terus cuba berdalih dan menyekat usul undi tidak percaya terhadapnya yang sepatutnya diberi ruang pada sessi Julai, turut boleh ditolak oleh pembangkang sebagai salah satu cara untuk menjatuhkan beliau.

Pendeknya, dengan majoriti hanya dua undi yang dimilik Muhyiddin sekarang, macam-macam cara dan usaha boleh dilakukan untuk menampakkan ketidakupayaan dan ketidakstabilan kerajaan yang dipimpinnya, seterusnya menjadikan beliau jatuh bagai nangka busuk.

Lebih mungkin, dengan ketidaktentuan dan ketidakstabilan itu, usaha mendaftarkan PN sebagai sebuah gabungan politik yang sah juga akan terhalang sama, walaupun memorandum persefahaman mengenainya sudah dipersetujui pada Ahad lalu bersama enam parti politik.

UMNO dan BN yang menpunyai jumlah Ahli Parlimen terbesar dalam PN iaitu 43 tentu saja tidak mahu “menggantung diri” dengan merelakan diri mereka terperangkap dalam gabungan yang tidak stabil itu.

Lebih baik UMNO dan BN menumpukan kerjasama politik mereka dengan Pas melalui MN dan melupakan PN begitu saja.

Sebab itu, dengan kedudukan paling buruk yang pernah dialami berbanding mana-mana Perdana Menteri sebelum, tidak banyak pilihan yang tinggal di tangan Muhyiddin.

Adalah tidak bermoral jika beliau terus cuba bertahan dengan kedudukannya, tetapi mengorbankan masa depan rakyat dan ekonomi negara ke kancah yang boleh memberi kemusnahan kepada semua.

Meletak jawatan dan berundur secara baik adalah satu-satu pilihan terbaik yang wajar diambilnya sekarang kerana sebelum usul undi tidak percaya, jika ada dua orang Ahli Ahli Parlimen sedia mengumumkan secara terbuka menolak kepimpinanya dalam waktu terdekat ini, kejatuhannya jauh lebih memalukan lagi.

Berundur sajalah Bang Din – berehat, tumpu pada keluarga dan utamakan kesihatan sendiri. (Shahbudindotcom 19/05/2020)