Sejarah “Takbir” dalam PAS‬





Oleh : Abd Malek Hussin

‪Bertakbir tidak menjadi budaya yang kini berakar umbi dalam PAS, sebelum era kepimpinan ulama yang diasaskan pada 1982.‬

‪Aku menyokong aktif PAS mulai 1978 dan menganggotainya pada 1981.‬

‪Aku mula membantu PAS, khasnya dalam pilihanraya umum Negeri Kelantan yang berlangsung pada 11 Mac 1978. Ini diikuti dengan tumpuan membantu Ustaz Fadzil Mohd Noor di Kedah semasa pilihanraya umum parlimen pada Julai 1978. Ketika itu, aku menganggotai ABIM dan menjadi pegawai di Ibupejabat ABIM Pusat di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.‬

‪Aku mengikuti ceramah-ceramah pimpinan PAS Pusat dan aku sendiri berceramah di depan khalayak penyokong PAS, namun tidak kedengaran sesiapa mengajak orang bertakbir pada masa era itu. Sebaliknya, mereka bertepuk tangan gembira apabila naik semangat menyetujui intipati pidato.‬

‪Aku dilantik sebagai Setiausaha PAS Kawasan Setapak, Wilayah Persekutuan oleh Yang Di-Pertua PAS Kawasan Setapak, Subky Latif pada tahun 1981. Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan kemudian melantik aku sebagai wakil negeri bagi membahaskan Ucapan Dasar Yang Di-Pertua PAS dalam Muktamar Tahunan PAS di Dewan Bahasa dan Pustaka.‬

‪Dalam Muktamar 1981 itu, tiada sesiapa mengajak laungan “Takbir” terhadap ucapan sesiapa, malah amalan menghisap rokok di dalam Muktamar masih belum terhenti. Masih terdapat pimpinan PAS Pusat yang duduk di hadapan yang merokok — menjadi kegemaran mereka ketika itu ialah kretek Gudang Garam. Kretek itu apabila dihisap boleh menyemburkan serpihan bara api yang membakar berhalus pada baju atau jubah mereka hingga nampak berlubang kecil.‬

‪Pernah aku hadir sebagai pemerhati Muktamar Khas PAS pada 2 Mac 1980 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Sungguh ramai dalam dewan itu merokok atau berkretek. Tidak pelik jika ramai dalam Muktamar Khas itu pedih mata akibat kepulan asap dalam dewan. Aku boleh sebutkan, pedihnya mata ketika itu bagaikan FRU menembak gas pemedih mata.‬

‪Muktamar Khas 1980 itu membincangkan isu demonstrasi para petani di Alor Setar, Kedah pada 19 Januari 1980 yang membantah Kerajaan berkaitan isu harga padi. Ekoran demonstrasi itu, pada 23 Januari 1980 seramai 14 ahli PAS ditahan di bawah ISA. Walaupun pembahas demi pembahas berucap berapi membidas Kerajaan , namun tiada ajakan dan laungan “Takbir” di dalam Muktamar Khas itu.‬

‪Maka, dari mana dan bila bermula perubahan bertakbir berlaku dalam PAS?‬

‪Pada Februari 1979, revolusi rakyat berjaya menumbangkan Shah Iran. Kejayaan revolusi di Iran itu menarik perhatian dunia, lebih-lebih lagi kepada berbagai gerakan Islam banyak negara. Mereka terpegun dengan kejayaan pembentukan Republik Islam Iran di bawah kepimpinan Ayatullah Rohullah Khomeini. ‬

‪Ramai pimpinan dan aktivis gerakan-gerakan Islam berpusu ke Iran. Dari Malaysia, tidak terkecuali.‬

‪Anwar Ibrahim selaku Presiden ABIM adalah antara yang awal ke Iran selepas kejayaan revolusi. Beliau hadir menyertai delegasi WAMY berkunjung ke Iran pada awal Mac 1979 dan menemui Imam Khomeini.‬

‪PAS juga tidak ketinggalan. Ramai pemimpin PAS, terutama pimpinan Dewan Pemuda PAS berkunjung ke Iran dalam tahun 1981-1982. Malah Dewan Pemuda PAS Pusat menganjurkan secara bersiri lawatan ke Iran ketika itu dan mengikuti kursus-kursus politik di Teheran.‬

‪Aku juga turut menyertainya pada 1982 bersama beberapa pimpinan Pemuda PAS Pusat dan Negeri. Kami mengambil dan membawa pulang banyak iktibar dan pengalaman baru perjuangan dari Iran.‬

‪Dari kursus-kursus itu, kami menggarap gagasan perjuangan Islam yang bersifat alami, antaranya mengenai penentangan terhadap imperialisme kuasa-kuasa Barat dan Timur, penegasan perjuangan membebaskan Palestin dan penghayatan terhadap kepimpinan ulama dalam gerakan.‬

‪Seperkara yang aku amati di Iran ialah kekerapan berselawat dan bertakbir dalam majlis sebagai pernyataan roh perjuangan Islam di dalam majlis dan juga di khalayak awam. ‬

‪Apabila diseru bertakbir, rakyat Iran dalam era tersebut akan melaungkannya dengan nada yang lembut tapi padu. Mereka yang menyambutnya akan laungkan “Allahu Akbar” tiga kali berturut-turut dan disusuli sejurus itu dengan laungan slogan “Mar barg Amriko! Mar barg Syurowi! Mar barg Israil!” Maksudnya, “Jahanam Amerika! Jahanam Russia! Jahanam Israel!”‬

‪Dari Iran, kami Pemuda PAS membawa pulang dan menerapkan amalan bertakbir di dalam parti, dan ia berkembang dengan begitu pesat hingga ke cawangan-cawangan bawahan dalam parti. ‬

‪Berbeza dengan Iran yang rakyatnya bertakbir dengan nada lembut, di Malaysia menjadi lain. Orang-orang PAS mungkin lebih melaung dek berjiwa Melayu yang sifatnya mudah panas melenting akan bertakbir sekuat suara sehingga kekadang nampak tegang urat tengkok.‬

‪Pada waktu itu, PAS mengalami krisis dalaman. Kepimpinan Datuk Asri Muda selaku Yang Di-Pertua disanggahi hebat oleh berbagai peringkat organisasi dalam PAS, terutama sekali Pemuda PAS berikutan kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya umum Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Mac 1978 dan pilihanraya umum Parlimen pada April 1982.‬

‪Kemuncak perbezaan ini menjadi tersangat nyata dan tajam apabila buat pertama kalinya Dewan Pemuda PAS Pusat mengadakan Muktamar secara berasingan dari segi jadual dan lokasi dengan Muktamar Tahunan PAS Pusat.‬

‪Muktamar ke-23 Dewan Pemuda PAS Pusat diadakan pada 12 Jun 1982 di Madrasah al-Masriyyah, Bukit Mertajam. Sementara, Muktamar PAS ke-28 diadakan pada 23-24 Oktober 1982 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.‬

‪Muktamar Dewan Pemuda PAS turut mengundang tetamu khas dari Iran untuk berucap, iaitu Dr Fakhruddin Hijazi seorang Ahli Majlis (Parlimen) dari Teheran. Ketika berlangsung ucapan Dr Fakhruddin, buat pertama kalinya laungan “Takbir” bergema dalam majlis rasmi PAS. ‬

‪Gema laungan “Takbir” itu berkemuncak pada Muktamar Tahunan PAS Pusat 1982 di Dewan Bahasa dan Pustaka.‬

‪Sebagai pernyataan sanggahan terhadap kepimpinan Datuk Asri, anak-anak muda dalam dewan muktamar dengan sengaja bertakbir berulang kali bagi mengganggu Asri ketika beliau menyampaikan Ucapan Dasar pada 24 Oktober 1982. Terdapat juga sebahagian anak-anak muda PAS melaungkan “Mar barg Asri!” berkali-kali. Ungkapan Farsi itu bermaksud, “Jahanam Asri!”‬

‪Segelintir penyokong Asri amat marah kepada laungan “Takbir” itu. Aku masih ingat, beberapa orang ‘gedebei’ penyokong Datuk Asri jalan berkeliaran di celah-celah perwakilan dan pemerhati sambil memberi amaran, “Sesiapa yang bertakbir, kami tampar!”‬

‪Tidak tahan dengan gangguan “Takbir” dan jeritan slogan menentangnya, Datuk Asri segera menghabiskan ucapannya. Namun, Ucapan Dasarnya itu kemudian ditolak perwakilan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah mana-mana parti politik di Malaysia, Ucapan Dasar Presiden parti ditolak, kecuali PAS. Ini membawa kepada peletakan jawatan Asri sebagai Yang Di-Pertua PAS Pusat secara mengejut di dalam Muktamar itu.‬

‪Kesimpulannya, budaya “Takbir” PAS itu bermula dari Muktamar Dewan Pemuda PAS di Bukit Mertajam pada 12 Jun 1982 dan‬
‪berkemuncak dalam Muktamar Tahunan PAS di Kuala Lumpur pada 24 Oktober 1982.‬

‪Laungan “Takbir” 1982 menjadi strategi yang berkesan untuk menumbangkan Datuk Asri Muda sebagai Yang Di-Pertua PAS Pusat yang ke-4, dan kini laungan itu berkembang menjadi laungan semangat penyokong-penyokong PAS.‬

‪“Takbir” dalam Muktamar PAS 1982 itu tidaklah berkaitan dengan memuji Allah, tetapi dilaungkan untuk menghalau Presiden yang digelar ‘thoghut’ dari partinya sendiri.‬

‪Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!‬



No comments: