KENAPA AKU BERAMBUT PANJANG DAN PROTES AKU SELAMA INI


Malek  Hussein

Ada kekawan sentuh hal peribadi. Dia bertanya:‬

‪“Nak tanya kenapa Pak Malek simpan rambut panjang. Dan mohon jelaskan adakah sejak dari dlm pas lg rambut panjang atau bila bermulanya gaya rambut Pak Malek..juga boleh dihuraikan penerimaan masyarakat ttgh gaya rambut panjang. Terima kasih Pak Malek.”‬

‪Aku jawab:‬

‪“Berambut panjang, berambut pendek atau tidak berambut langsung bukan menjadi masalah kepada aku, selagi kepala dan isi di dalamnya (otak) diurus dengan baik dan betul.‬

‪Kebanyakan yang berambut panjang atau pendek itu cuma penampilan diri. Asasnya, apabila berambut, uruskanlah — basuh selalu dari masa ke semasa — supaya sentiasa bersih dan kemas.‬

‪Aku menyimpan rambut panjang sejak beberapa tahun. Ada sebabnya. Ia adalah cara aku menzahirkan suatu manifestasi perjuangan dalam hidup aku.‬

‪Pada 25 September 1998, aku ditahan oleh Kerajaan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berikutan penglibatan aku dalam gerakan Reformasi bagi menyokong agenda perubahan negara yang dipelopori dan dipimpin oleh Anwar Ibrahim.‬

‪Dalam tahanan ISA itu, aku disiksa dengan begitu kejam oleh polis. Aku pernah menulis panjang berkaitan penyiksaan yang aku alami dalam tahanan ISA. Ringkasnya — aku digari, dibogelkan, ditutup mata, dipukul beramai oleh anggota-anggota polis Cawangan Khas, ditendang, dipaksa ke dalam bilik sejuk dalam keadaan bertelanjang dan dipaksa minum air kencing polis. ‬

‪Aku turut dipukul oleh Ketua Polis Negara dalam keadaan aku digari dan dibogelkan.‬

‪Aku dikurung dalam sebuah sel tahanan di Ibupejabat Polis Bukit Aman selama hampir dua bulan tanpa dapat melihat cahaya matahari. Aku ditahan tanpa bicara, tanpa menghadapi sebarang tuduhan di mahkamah dan tanpa hak akses kepada peguam selama dalam tahanan.‬

‪Pada 21 November 1998, aku dibebaskan tanpa syarat. Kerana trauma akibat penyiksaan dalam tahanan dan ugutan polis untuk menahan aku semula, aku mengambil masa untuk pulihkan semangat dan mengembalikan keyakinan diri.‬

‪Pada 16 Mac 1999, aku failkan saman terhadap tiga pihak yang bertanggungjawab menahan aku tanpa bicara di bawah ISA dan menyiksa aku dalam tahanan. Aku saman Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara dan ketua pasukan polis Cawangan Khas yang menangkap aku.‬

‪Kes saman itu didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Hishamudin Mohd Yunus.‬

‪Pada 18 Oktober 2007, setelah menjalani perbicaraan selama lapan tahun, Hakim Hishamudin memutuskan penghakiman bahawa Kerajaan sabit dalam menyalahgunakan ISA dan menyiksa aku semasa dalam tahanan polis. Kerajaan dikehendaki membayar RM1,000,000 atas penahanan salah, RM500,000 untuk gantirugi kecederaan akibat disiksa dan RM1,000,000 lagi sebagai gantirugi tauladan. Kesemua gantirugi yang perlu dibayar oleh Kerajaan kepada aku berjumlah RM2.5 juta, dengan kadar faedah 8% setahun dari tarikh penghakiman sehingga pelaksanaannya.‬

‪Aku berambut pendek pada ketika itu.‬

‪Kerajaan memfailkan rayuan bagi menyemak semula penghakiman Hishamudin di Mahkamah Rayuan. ‬

‪Pada 25 Mac 2010, Mahkamah Rayuan menolak keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi dan segala gantirugi yang perlu dibayar oleh Kerajaan kepada aku dibatalkan. Di samping itu, aku diperintah membayar kos RM50,000 kepada Kerajaan.‬

‪Sejak itu, aku mula menyimpan rambut panjang sebagai manifestasi protes aku terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Kerajaan.‬

‪Berikutan itu, aku pula failkan rayuan balas di Mahkamah Persekutuan. ‬

‪Pada 12 Ogos 2010, Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menolak permohonan aku bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan. Aku pula dikehendaki membayar lagi kos RM20,000 kepada Kerajaan.‬

‪Aku masih terus menyimpan rambut panjang pada ketika itu.‬

‪Pada 13 Februari 2018, secara bersurat melalui Pejabat Peguam Negara, Kerajaan menuntut aku membayar kos sejumlah RM70,000 yang berkaitan dengan keputusan-keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Aku diberi amaran, jika gagal membayarnya, aku boleh didakwa menghina mahkamah dan boleh dipenjarakan.‬

‪Aku enggan membayarnya. Aku tegas berpendirian, tak mungkin aku akan membayar “upah” mereka yang menyiksa aku. Aku lebih rela ke penjara daripada tunduk kepada penghinaan sedemikian rupa.

‪Pada 26 Mac 2018, aku dikehendaki hadir ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk sebutan Saman Penghutang Penghakiman atas dua penghakiman Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara yang menuntut pembayaran berjumlah RM70,000 itu.‬

‪Aku hadir mahkamah. Namun, tiada seorang pun representatif mewakili Jabatan Peguam Negara hadir apabila kes mula didengar. Lalu, Hakim memutuskan tuntutan Kerajaan itu dibatalkan, dan aku dilepaskan daripada membayar sebarang kos.‬

‪Semasa bertugas di Parlimen, aku berambut panjang. Pada mulanya aku diusik ramai kawan-kawan, tak mengira parti.‬

‪Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Nazri Abdul Aziz menggelar aku “Rock”. Sementara Karpal Singh memanggil aku “Tarzan”.‬

‪Pernah juga aku menerima nasihat mengenai bagaimana mengurus dan menjaga rambut panjang dari Dr Wan Azizah Wan Ismail. ‬

‪Perjuangan belum berakhir kerana tuntutan aku terhadap penahanan salah di bawah ISA dulu dan penyiksaan polis semasa dalam tahanan masih belum diperolehi keadilan dan pelasanaannya.‬

‪Apabila BN tumbang dalam PRU ke-14 dan PH menang menubuhkan Kerajaan, aku memutuskan tidak akan mengemukakan tuntutan keadilan di bawah pentadbiran Kerajaan pimpinan PM Dr Mahathir Mohamad. Tidak sekali-kali di bawah Mahathir!‬

‪Aku pernah bangkitkan isu ini kepada Anwar Ibrahim. Dia menasihatkan aku supaya bersabar. Katanya, insya Allah, keadilan akan terserlah jua di kemudian hari.‬

‪Kesimpulannya, hidup menggalas perjuangan mesti cekal penuh tekad membela orang yang tertindas, mendukung kebenaran, menolak kebatilan, menegakkan keadilan dan menentang kezaliman selagi hayat dikandung badan.‬

‪Aku sudah sebati dan tidak akan berganjak menggengami prinsip perjuangan, walau masih kekal berambut panjang hingga ke saat ini.‬

‪Bukanlah penampilan zahir seseorang itu menjadi ukuran dan ikutan, tetapi kekentalan jiwa perjuangannya dan kewarasan akal fikiran serta kebijaksanaannya.

No comments: