*KENYATAAN MEDIA* *PROSPEK EKONOMI HARUS MENCERMINKAN CABARAN SEMASA*





Dunia hari ini terus dicengkam krisis kesihatan, kemanusiaan dan ekonomi terburuk dalam sejarah. Krisis ini turut memberi kesan besar kepada negara dari sudut kesihatan dan keselamatan warga. Ekonomi kita juga tidak terlepas dari hentaman wabak Covid-19, dan juga ketidaktentuan politik tatkala kerajaan ini mengambil kuasa sekitar bulan Mac yang lalu.

Badan-badan tempatan dan dunia telah meramalkan penguncupan ekonomi kita dari -1.0% kepada -4.6% pada tahun 2020.

Pembalikan pertumbuhan ekonomi ini memerlukan dua perkara:

1) penilaian yang jujur oleh kerajaan terhadap masalah yang dihadapi kita hari ini

2) perencanaan yang luarbiasa yang harus mencakup ekonomi domestik, terutamanya sejumlah besar rakyat Malaysia dan peniaga-peniaga kecil yang tidak mempunyai simpanan yang cukup bagi menepis kegawatan ini.

Keyakinan yang dihamburkan Menteri Kewangan baru-baru ini terkait ramalan bahawa Malaysia akan segera pulih kepada pertumbuhan 5.8% pada tahun 2021 ternyata bermasalah, jika mengambilkira capaian penuh impak Covid-19, dan bagaimana ia akan mengesankan kuasa-kuasa ekonomi yang berkait dengan kita.

Sebagai contoh, PKP yang akan berlangsung kira-kira enam minggu, dan berkemungkinan dilanjutkan. Kita tahu bahawa sejumlah besar kelas pekerja di Malaysia mempunyai kira-kira satu bulan simpanan untuk menempuh krisis ini, menurut kajian dan laporan oleh INCIEF. Menurut Jabatan Perangkaan pula, 35% yang bekerja sendiri akan hilang sekurang-kurangnya 90% dari jumlah pendapatan mereka, dan tambahan 46% yang akan terus hilang kerja sekaligus.

Saya bimbang bahawa tahap perbelanjaan pakej rangsangan yang diumumkan baru-baru ini sehingga kini belum memadai untuk merapatkan jurang pendapatan bagi melindungi warga dari ketidakjaminan makanan dan kebuluran, terutamanya kanak-kanak.

Dalam saat yang serba mencabar seperti hari ini, kepimpinan yang berwibawa bermaksud mengurus krisis dengan penilaian yang jujur dan berfakta, dan bukan dengan memberi gambaran palsu dan bersifat selektif.
 
Setelah meneliti laporan dan capaian impak Covid-19 ke atas Malaysia, saya menggesa kepimpinan hari ini untuk lebih berhemah dan mendasar dalam perencanaan mereka. Gesaan saya ini adalah setelah mengambilkira kejatuhan harga minyak dan harga komoditi kita, termasuk dampak yang berterusan kepada rakan-rakan dagang terpenting seperti China, Amerika Syarikat dan rakan-rakan kita di rantau Asean.

Tambahan pula, dengan lanjutan PKP ini, saya menggesa agar ketelusan dapat dijamin dalam pembayaran melalui peruntukan dana Prihatin kepada rakyat yang terkesan dan peniaga- peniaga kecil yang terhimpit dengan kemelut ini.

Saya menyeru agar kita mengutamakan “Barangan Buatan Malaysia” bagi mendukung perniagaan dan ekonomi tempatan dalam menampan kemelut ekonomi, dan juga memperkuat dampak rangsangan ekonomi.

Akhir sekali, saya mencadangkan agar perencanaan baharu difikirkan bagi melindungi warga dan perniagaan yang terdiri dari golongan B40 yang terkesan dengan kemelut ini sehinggalah ekonomi kita pulih dan kembali bangkit.

Dalam konteks ini Pakatan Harapan menyeru agar satu sesi khas Parlimen diadakan bagi membincangkan permasalahan ini sesegera mungkin.

*ANWAR IBRAHIM*
*14 APRIL 2020*