Campur tangan politik bantutkan usaha bantu rakyat memerlukan


Kehidupan rakyat amat terkesan dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini. 

Rakyat terutama kelompok berpendapatan rendah atau B40 sangat memerlukan bantuan, dan bantuan itu perlu tiba segera kepada mereka. 

Masa sekarang adalah masa paling sesuai untuk menghindari daripada berpolitik. Namun begitu, apa yang dikesali, dikhabarkan berlaku beberapa kes yang menunjukkan berlaku aktiviti politiking terhadap usaha membantu anggota masyarakat yang terjejas. 

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh membangkitkan kebimbangan mengenai tindakan lembab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam mengagihkan bakul makanan kepada keluarga B40 di setiap kawasan Parlimen. 

Menurut beliau, rata-rata ahli Parlimen masih belum melihat 1,000 bekalan makanan yang dijanjikan kerajaan persekutuan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk golongan tersebut di setiap kawasan.

“Kami diberitahu akan ada 1,000 bakul makanan yang akan disediakan oleh kerajaan pusat melalui JKM untuk setiap kawasan, tetapi ramai ahli parlimen di KL belum melihat bekalan makanan ini dan kita sudah memasuki minggu keempat PKP.

“(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Rina Harun perlu jawab,” katanya. 

Campur tangan politik juga berlaku di satu daerah di Johor apabila Pejabat Ahli Parlimen Kulai mendakwa proses penyampaian sumbangan tidak dapat diteruskan kerana terdapat campur tangan politik yang menghalang.

Sebelum itu, Pejabat Ahli Parlimen Kulai tidak mempunyai masalah untuk menyediakan 1,027 senarai nama penerima bantuan tanpa mengira latar belakang politik. Sejumlah 600 sumbangan telahpun disampaikan dengan kerjasama dari JKM. 

Persoalannya, mengapa perlu ada campur tangan politik di waktu genting memerangi pandemik Covid-19 ini? Bukankah kebajikan rakyat sepatutnya didahulukan tanpa mengira latar belakang politik?

Lim Guan Eng pada minggu lalu pula menyatakan bahawa peruntukan RM400,000 yang diluluskannya kepada Hospital Seberang Jaya ketika menjadi Menteri Kewangan telah ditarik balik. 

Hospital Seberang Jaya merupakan antara hospital saringan Covid-19 dan beban tanggungjawab mereka lebih berat. Tetapi, kenapa peruntukan itu ditarik balik?

Sementara itu, pada 26 Mac 2020, Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Pasir Gudang yang dipengerusikan oleh ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung, telah sebulat suara meluluskan sebanyak 2,000 set sumbangan keperluan asas untuk disampaikan kepada warga Pasir Gudang yang kurang berkemampuan.

Namun, usaha ini mendapat sekatan kerana senarai penerima yang dikumpulkan perlu kelulusan daripada beberapa pihak kerajaan. 

Kemudian, tidak semena-mena dikhabarkan UMNO Pasir Gudang yang akan menyampaikan sumbangan tersebut sedangkan ia diluluskan oleh ALPA. Mengapa urusan ini disekat awalnya tapi tiba-tiba bantuan disampaikan oleh UMNO Pasir Gudang yang tidak terlibat dalam perbincangan ALPA?

Semua kejadian-kejadian ini, tidak sepatutnya berlaku. Keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik dan kaum terus terbela daripada kesan yang dibawa PKP. 

Kerajaan didesak untuk memastikan kes-kes seumpama ini tidak berulang dan rakyat terjejas segera memperoleh bantuan yang mereka amat perlukan.


No comments: