Thursday, April 2, 2020

PAKEJ BANTUAN RAKYAT PULAU PINANG MULA DIAGIH HARI INI



Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang diumumkan kerajaan negeri pada 25 Mac lalu telah mula diagih pada hari ini, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Katanya, seramai 4,700 wira barisan hadapan yang terdiri daripada anggota Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menerima RM300 setiap seorang pada hari ini.

“Bagi wira-wira barisan hadapan agensi Kerajaan Persekutuan, peruntukan telah disalurkan kepada jabatan-jabatan masing-masing dan pihak-pihak berkaitan akan uruskan pembayaran masing-masing.

“Pada hari ini juga, semua penerima bantuan AES berjumlah 551 orang di negeri Pulau Pinang, yang terdiri daripada keluarga miskin akan menerima RM500 di dalam akaun bank masing-masing,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Selain itu, kata Kon Yeow, pemandu teksi dan pemandu e-hailing juga masing-masing akan menerima bantuan sebanyak RM500 dan RM300 setiap seorang pada hari ini.

Penyewa rumah sewa serta premis perniagaan kerajaan negeri pula tidak perlu membayar sewa mereka pada bulan ini, tambahnya.

“Manakala, penghuni projek rumah sewa-beli Kerajaan Negeri, peminjam Skim Pinjaman Harapan, Tabung Usahawan Tani dan Pinjaman Penuntut dibenarkan untuk menangguh bayaran bermula bulan ini selama tiga bulan,” ujarnya.

Sementara bagi penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula, Kon Yeow berharap wang bantuan akan disalurkan dalam tempoh satu hingga dua hari lagi.

Di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bernilai RM75 juta itu juga, setiap Adun menerima dana bantuan kecemasan RM30,000 bagi kawasan masing-masing.

Menurut Kon Yew, dana berkenaan perlu digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat yang susah.

“Saya berjanji, semua Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang akan disalurkan dengan secepat mungkin kepada kumpulan sasar dalam bulan April ini.

“Kerajaan negeri akan sentiasa bersama-sama anda untuk mengharungi segala cabaran dalam tempoh sukar ini,” katanya yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang.

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers