KENYATAAN MEDIA



SELANGOR TASK FORCE FOR COVID-19 (STFC)

2 April 2020

1. Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor atau Selangor Task Force for Covid-19 (STFC) mengambil maklum bidang Kesihatan adalah di bawah jurisdiksi Kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri bertindak dalam rangka untuk membantu (complement) usaha-usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai ‘Custodian of Health’ – ‘Penjaga Kesihatan’ untuk seluruh Persekutan Malaysia.

2. Dengan berbekalkan sedikit kepakaran dan pengalaman Ahli-Ahli STFC, kami komited untuk meningkatkan keupayaan Kerajaan Negeri Selangor, antara lainnya, mengemukakan cadangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk menangani penularan virus SARS CoV-2 serta mengurangkan pesakit COVID-19 di negeri Selangor khasnya.

3. Objektif strategi menangani Epidemik COVID-19 ini adalah mempastikan ‘kemampuan fasiliti-fasiliti kesihatan di negeri Selangor terutama wad ICU dan kelengkapan seperti ventilator, sentiasa mampu menangani peningkatan kes’. Oleh itu sangat penting untuk sentiasa ‘melandaikan keluk epidemik’ atau ‘flattening the epidemic curve’ di negeri Selangor.

4. Ini menjadi lebih kritikal dalam fasa penularan agresif (acceleration phase), sebelum Vaksin atau ubat ‘Anti-Viral’ yang khusus untuk membenteras virus SARS CoV-2 dihasilkan oleh mana-mana Negara di dunia ini. Hanya Vaksin dan Ubat ‘Anti-viral’ ini sahaja yang dapat membenteras virus SARS C0V-2 ini!

5. Bagi mempastikan ‘strategic objective’ ini tercapai, beberapa ‘Terma Rujukan’ (TOR) telah ditetapkan sebagai bidang tugas STFC. Antara lainnya ialah:

i) ‘Meningkatkan Pendidikan dan Pemahaman’ warga Selangor tentang virus dan penyakit baru ini, supaya semua pihak supaya tahu kepentingan untuk melaksanakan langkah-langkah seperti penjagaan kebersihan diri seperti cuci tangan dengan sabun dan sanitizers serta memakai topeng muka ketika perlu termasuk kalau kerap batuk dan bersin.
ii) Mendidik warga Selangor akan kepentingan untuk sentiasa mengamalkan ‘menjauhkan jarak sosial (fizikal)’ atau ‘sosial distancing’ buat ‘memutuskan rantaian transmisi’ dalam komuniti.
iii) Menghasilkan ‘guidelines’ atau garis-panduan untuk kegunaan dan perlaksanaan pelbagai pihak; sekolah, kolej dan universiti, fasiliti-fasiliti penjagaan kanak-kanak, di tempat-tempat membeli-belah, mall, kedai runcit serta tempat makan awam. Bahan-bahan ini telah pun dihasilkan.
iv) Menasihatkan semua penguasa agama dari segi input kesihatan dalam menangani penularan virus SARS CoV-2 ini, di bangunan-bangunan ibadat seperi masjid, surau serta juga kereja, kuil dan lain lain.
v) Membangunkan keupayaan Kerajaan Negeri di segi penggunaan ‘Big Data Analytics’ serta ‘Machine Learning’ bagi memandu arah kegiatan perlaksanaan seperti ‘saringan dalam komuniti’, ‘pengesanan rapat’ atau ‘contact tracing’, agar lebih terarah dan bersasar, di dalam fasa “Perintah Kawalan Pergerakan” atau PKP.

6. Statistik terkini yang mencatatkan 142 kes baharu pada 1 April 2020 telah menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2908 kes dengan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 45 kes.

7. Menurut laporan ini, Negeri Selangor telah mencatatkan jumlah penurunan kes selama dua hari berturut-turut iaitu daripada 60 kes baru pada 30 Mac 2020, kepada 32 kes baru pada 31 Mac 2020, manakala pada 1 April 2020, 22 kes baru telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Selangor adalah sebanyak 726 kes sehingga 1 April 2020.

8. STFC memandang serius situasi terkini penyakit COVID-19 di Selangor kerana merupakan tertinggi dalam carta jumlah kes positif COVID-19. Statistik ini adalah sejajaran dengan faktor kepadatan penduduk Selangor, yang mewakili lebih 20% daripada populasi kependudukan Malaysia.

9. STFC juga ingin memaklumkan, sehingga 1 April 2020, 4 daerah di Selangor telah dikategorikan di dalam “Zon Merah” iaitu Daerah Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak.

STFC ingin mengingatkan kepada semua penduduk dalam daerah-daerah ini untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan disiplin yang tinggi.

10. STFC akan sentiasa melaksanakan langkah intervensi setempat bagi mengupayakan seluruh jentera lokal di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dengan menggunakan sumber dan pasukan sokongan Kerajaan Negeri Selangor termasuk keterlibatan sokongan sukarelawan atau ‘Civil Society Organisations’ (CSOs). Ini merupakan pendekatan ‘Whole of Society’ yang dianjurkan WHO.

11. Sebagai panduan buat YAB Menteri Besar Selangor memandu arah jentera negeri dalam melaksanakan langkah-langkah intervensi setempat, STFC beriltizam untuk mengemukakan setiap rekomendasi dan tindakan perlu sejajar dengan bukti saintifik, dan data mutakhir. 

12. Bagi mencapai tujuan ini, sebuah platform analitikal dengan keupayaan Big Data Analytics dan Kepintaran Mesin telah dibangunkan agar rekomendasi-rekomendasi STFC boleh disandarkan kepada kajian-kajian saintifk terkini yang berubah secara pantas di dalam tempoh epidemik ini. 

13. Ia juga bagi membolehkan ahli-ahli STFC tidak hanya tertumpu kepada isu beban kes covid19, malahan turut mengambil kira beban populasi, taburan populasi terpinggir seperti ibu tunggal, warga emas, warga berpendapatan rendah, dan faktor sosioekonomi dalam menyusun perancangan prioriti dan cadangan tindakan. 

14. STFC amat mengharapkan perkongsian data dari pihak KKM agar kami dapat melengkapkan analitik yang dibangunkan. Data ini tidak bermaksud data pesakit atau ‘patient identity’, yang mesti kekal rahsia di bawah Akta Perubatan. Analitik Data ini, akan dapat membantu memacu tindakan kawalan penyakit, saringan komuniti bersasar secara lebih mikro, dan juga menggerakkan saluran bantuan dan kebajikan, termasuk menjaga kesihatan mental warga Selangor.

15. STFC sekali lagi ingin menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Selangor khasnya, untuk mematuhi segala Perintah Kawalan Pergerakan (kini di Fasa 2), terus mengamalkan penjarakan sosial, sentiasa menjaga kebersihan diri dan keluarga dengan mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau sanitizers. Semoga kita dapat sama-sama ‘melandaikan keluk epidemik’ COVID-19 ini dengan kadar yang segera, demi kesejahteraan Negeri dan Negara yang tercinta.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Pengerusi
Selangor Task Force for COVID-19
(STFC) 

#StayHome
#SelangorGempurCovid19

No comments: