2 April 2020
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan melihat dengan serius pengumuman Menteri Kanan Perdagangan Antara Bangsa dan Industri berkenaan penubuhan jawatankuasa Kabinet khas untuk menambahbaik pakej rangsangan khusus untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Pada hemat kami, sewajarnya isu bantuan buat PKS ini telah diperinci lebih awal sebelum pengumuman YAB Perdana Menteri pada 27 Mac lalu. Ini kerana PKS memainkan peranan amat penting dalam ekonomi negara, di mana hampir 7 dari 10 pekerjaan disediakan PKS dan lebih satu pertiga KDNK dijana melalui aktiviti ekonomi oleh PKS.
Pendirian Majlis Setiausaha berkenaan bantuan PKS, kekal, di mana belanja untuk bantuan subsidi gaji perlu ditambah sekurang-kurangnya dua kali ganda dari RM5.9 bilion ke hampir RM12 bilion bagi membayar RM1,200 gaji minima bagi 3.3 juta pekerja untuk jangkamasa tiga bulan.
Pada masa yang sama, Majlis Setiausaha mendapati beberapa pengumuman dan tindakan baru-baru ini seakan tidak diselaraskan di antara anggota Jemaah Menteri. Sebagai contoh, isu pengumuman harga penutup muka (face mask), isu keterlibatan NGO dalam menyampaikan bantuan di lapangan, isu sanitasi dan operasi nyahkuman di kawasan awam, apatah lagi isu penambahbaikan pakej rangsangan bagi PKS ini.
Majlis Setiausaha PH menegaskan bahawa Kerajaan perlu segera menubuhkan ‘War Room’ atau ‘Bilik Perang’ yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri sendiri dan bertemu setiap hari untuk menyelaras isu dan merungkai percanggahan atau pertindihan bidang kuasa. Semua jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menangani permasalahan yang timbul hasil ancaman Covid 19 ini mesti dipantau perjalanannya oleh Perdana Menteri melalui Bilik Perang yang ditubuhkan. Ini akan menentukan keputusan yang dibuat melalui Jawatankuasa ini, termasuk jawatan kuasa khas kabinet akan dilaksanakan dengan berkesan kerana mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri.
Selain daripada masalah bidang kuasa, masalah utama yang lain ialah di manakah letaknya fokus dan keutamaan kerajaan pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin? Apakah ekonomi atau kesihatan? Majlis Setiausaha PH mengulangi penegasan bahawa kedua - dua aspek ini adalah penting dan perlu ditekuni dengan mendalam di mana menuntut kepada perancangan yang rapi dan penyelesaian yang tuntas. Mewujudkan suatu lagi jawatankuasa tentunya akan menambahkan lagi karenah birokrasi dan tidak akan bermakna apa-apa sekiranya tiada keazaman politik untuk Perdana Menteri dilihat memimpin menyelesaikan permasalahan ini.
Kesan Perintah Kawalan Pergerakan terhadap ekosistem ekonomi negara amat jelas. Oleh itu semua tindakan dan arahan mesti berpaksikan kefahaman yang jelas mengenai apa yang perlu dan ingin dilakukan supaya kesan ini tidak lebih teruk dari apa yang perlu. Arahan yang dikeluarkan mesti bersifat membumi dengan penuh kefahaman mengenai realiti yang wujud sekarang dan apa yang perlu dielakkan. Dengan adanya pemahaman yang jelas ini, yang diperturunkan melalui Bilik Perang kepada semua, maka akan terhasil keseragaman dan penyelarasan di dalam semua tindakan. Ia akan dapat mengelak daripada berlakunya pembaziran masa dan sumber serta kesan yang lebih buruk terhadap ekonomi negara. Ini tentunya akan memudahkan pembangunan semula ekonomi negara pasca Covid-19 nanti.
YB DS Shamsul Iskandar Mohd Akin
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Datuk Wira Dr Mohd. Hatta Md Ramli
Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Liew Chin Tong
Parti Tindakan Demokratik (DAP)