Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memandang serius dengan laporan yang dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan bekas menteri.
Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, desakan dibuat adalah supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes itu yang melibatkan nama besar, iaitu bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan (MPKPH), Tun Daim Zainuddin.
Beliau menegaskan, dengan penubuhan RCI, maka pendengaran siasatan adalah lebih terbuka berbanding siasatan dilakukan SPRM.
“Wira Putra menyokong desakan presiden kami, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih telus dalam melakukan siasatan terhadap mana-mana individu yang dituduh menyeleweng dana kerajaan atas tujuan tertentu.
“Di kala penularan wabak Covid-19 ini, yang memerlukan dana besar bagi segala usaha pencegahannya, kita sarankan kerajaan hentikan segala perbelanjaan yang wajar ditangguhkan sementara siasatan dan isu wabak ini selesai.
“Kita juga menggesa agar siasatan itu perlu melibatkan dari awal kronologi projek ECRL dilaksana,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau menjelaskan, projek itu bermula dari zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dengan kos kira-kira RM55 bilion, namun selepas bertular tampuk pemerintahan, kos akhir dinyatakan adalah RM65.5 bilion.
Kemudian katanya, selepas Daim yang mewakili kerajaan PH ketika itu berunding dengan syarikat di China, beliau berjaya meyakinkan kerajaan untuk meneruskan projek tersebut dengan kos RM44 bilion.
Namun kata Nasrul Ali Hasan, turut didakwa kos tersebut masih lagi tertalu tinggi jika dibandingkan setelah beberapa perkara dikurangkan antaranya pembatalan lima stesen di laluan Gombak-Klang.
“Bagi Putra Malaysia, perbelanjaan projek ini sepatutnya hanya RM30 bilion sahaja, memandang pengurangan sebanyak lima stesen dari pelan sedia ada.
“Ini wajar dipertikaikan dan disiasat dengan kekayaan luar biasa Daim hanya selepas dua kali menjadi Menteri Kewangan.
“Siapakah yang akan mendapat manfaat lebihan RM14 bilion ini? Apakah tujuan dana ini dimanipulasi sebegitu banyak? Sudah tiba masa untuk Daim pula didakwa melalui RCI kerana melibatkan dana yang sangat besar,” ujarnya. –