Selepas beberapa jam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memohon maaf berhubung tips suara Doraemon untuk para isteri di rumah, penggunaan Bahasa Malaysia kementerian itu pula menjadi sasaran netizen.
Menerusi satu panduan untuk meluangkan masa bersama keluarga yang dimuatnaik 25 Mac lalu, Kementerian itu menyenaraikan enam langkah menjaga kebersihan tandas.
Namun terdapat beberapa kesalahan pada ayat yang digunakan seperti ‘tips’ ‘mops’, ‘flash’ dan ‘disekeliling’ yang sepatutnya ditulis sebagai di sekeliling.
“1) Pastikan mops lantai tandas supaya tiada cecair sabun. 2) Letakkan cecair pencuci di sekitar mangkuk tandas. 3) Gosok disekeliling mangkuk tandas. 4) Kemudian flashkan air. 5) Gosok disekeliling lantai tandas menggunakan berus tandas. 6) Lap cermin dengan kain bersih. Bilaskan lantai tandas dengan air.” sebut panduan itu.
Ada juga pengguna yang melahirkan rasa kesal dengan sikap sambil lewa mereka yang bekerja di bawah kementerian terbabit.
Mohammed Ibn Ghazali berkata: “Macam ini tatabahasa taraf kementerian? tak ada ‘copy writing’ langsung ke? Kalau budak sekolah bolehlah dimaafkan,” tulisnya.
Netizen juga mengkritik kesalahan berkenaan sebagai menghancurkan bahasa Melayu.
“..Ingatkan dah (jadi) kerajaan Melayu ini jagalah bahasa Melayu,” komen pengguna Mendan Sagor.
“Jujur, saya pun tak tahu dalam bahasa Melayu-English, ‘tip-tip” dah boleh pakai (jadi) ‘tips’,” tulis pengguna She Sal.
Pengguna berbangsa Cina, Hoe Meng Hong turut meninggalkan komen: “Flushkan air. Bukan ‘Flash”