W.FAUDZIN
Saya amat-amat bersetuju dengan tindakan pihak Polis yang menangkap dan mendakwa mana-mana individu yang berkelakuan biadab dengan memaki hamun pihak polis yang melaksanakan tugas.
Hukuman yang dikenakan kepada pesalah di dalam kes ini mengikut undang-undang sekarang cukup memadai sebagai satu pengajaran. Kenyataan Dr Maza yang mempersoalkan kewarganegaraan seseorang yang melakukan kesalahan seperti ini amat keterlaluan. Dr Maza seolah-olah mahu pihak berkuasa menghalau keluar pesalah-pesalah kes ini dari negara mereka menunjukkan Dr Maza tidak langsung menghormati undang-undang negara.
Kita tahu bahawa ramai pesalah di dalam kes seperti ini telah menerima hukuman. Kesemua yang pernah didakwa atas kesalahan memaki hamun polis bahkan ada yang memukul anggota polis adalah terdiri dari berbagai kaum. Ada pesalah dari kaum Melayu, Cina, India bahkan ada dari kaum orang asli. Adakah wajar mereka ini dihalau keluar dari negara ini?
Kesalahan mereka hanya biadab dengan pihak Polis, tidak melibatkan kepentingan rakyat sehingga menghuru-harakan negara atau menjejaskan ekonomi negara. Wajarlah mereka dihukum mengikut undang-undang yang setara dengan kesalahan mereka. Bagaimana pula kesalahan yang melibatkan kepentingan negara dan kepentingan rakyat?
Mengapa Dr Maza tidak melihat tindakan beberapa ahli politik yang khianat sehingga sanggup menafikan hak rakyat untuk menentukan kerajaan yang mereka pilih? Tidakkah pengkhianatan itu lebih bermudharat kepada negara? Apa telah terjadi kepada negara dan ekonomi negara selepas kerajaan pintu belakang ini dipaksa ke atas rakyat? Apakah Dr Maza melihat keadaan negara dan ekonomi negara lebih baik sekarang?
Jika kesalahan seorang individu yang memaki polis boleh dihalau dari negara ini, bayangkan apakah hukuman yang wajar untuk pengkhianat mandat rakyat sehingga menjejaskan kepentingan negara. Dr Maza boleh butakan matanya di dalam hal ini malah menyokong dan memujinya kononnya inilah negara melayu Islam. Seseorang Imam solat mesti mendapat restu dan keredhaan makmum teramai, apa lagi untuk menjadi seorang ketua negara. Imam solat pun di antara syaratnya mestilah sihat tubuh badan, apa tah lagi menjadi seorang ketua negara. Apakah Dr Maza berpuas hati dengan seorang PM yang sering sakit dan menjadi PM tanpa mandat rakyat?
Jangan terlalu emosi untuk menghukum seseorang sehinggakan tidak berpadanan dengan apa yang dilakukan. Adakah wajar hanya kerana dianggap seorang 'Wahabi" atau tidak bermazhab, maka elok dihalau dari negara ini dan dihantar ke negara Arab Saudi?
WFAUZDIN NS