Banyak mana sebenarnya RM2 juta?



Oleh Ahmad Amiruddin

Negara dikejutkan dengan pendedahan kekayaan Bendahari Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor, yang bernilai hampir RM1 bilion. Pendedahan itu adalah sebahagian daripada prosiding mahkamah yang sedang berjalan berhubung pembelaan diri beliau atas tuduhan menerima habuan RM2 juta daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong. 
Semalam, beliau mengejutkan negara lagi apabila, sewaktu membela diri di mahkamah, mengatakan tuduhan terhadapnya tidak adil kerana dia boleh sahaja mendapatkan RM2 dengan mudah. Menurutnya, RM2 juta itu umpama “duit poket” sahaja untuk beliau. 
Ramai rakyat berminat hendak tahu bagaimana beliau boleh mendapatkan RM2 juta dengan mudah itu. Benarkah RM2 juta senang diperolehi dan ia macam duit poket sahaja?
Tahun lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Kajian Kebajikan Sosial telah menerbitkan Panduan Perbelanjaan Untuk Individu dan Keluarga di Malaysia, khususnya untuk penduduk di kawasan Lembah Klang. 
Perbelanjaan isi rumah Lembah Klang
Panduan ini diterbitkan berasaskan corak perbelanjaan sebenar isi rumah di Lembah Klang dan bertujuan untuk dijadikan sebagai rujukan jumlah perbelanjaan minimum sesebuah isi rumah yang membolehkan isi rumah tersebut menghidupi sebuah kehidupan yang bermakna. 
Panduan ini menyatakan keperluan kewangan minimum untuk 6 kategori isi rumah seperti di bawah bagi membolehkan isi-isi rumah ini menikmati taraf hidup yang baik:
– Bujang, menggunakan pengangkutan awam (RM1,870 sebulan) 
– Bujang, memiliki kereta (RM2,490) 
– Pasangan berkahwin tanpa anak (RM4,420) 
– Pasangan berkahwin dengan seorang anak (RM5,730) 
– Pasangan berkahwin dengan dua orang anak (RM6,620) dan 
– Pasangan warga emas (RM3,090). 
Untuk keluarga 4 beranak
Berdasarkan kajian oleh Institut Kajian Khazanah, saiz purata isi rumah di Malaysia adalah 4.1 orang. Jadi ini bermakna, RM2 juta yang dikatakan “umpama wang poket” oleh Tengku Adnan atau lebih dikenali dengan nama Ku Nan boleh menampung keperluan untuk sebuah keluarga empat beranak selama hampir 25 tahun!
Bagaimana pula dengan kategori isi rumah yang lain-lain? 
Untuk orang bujang
RM2 juta boleh menampung perbelanjaan isi rumah seorang individu bujang yang menggunakan kereta sendiri selama hampir 67 tahun manakala untuk individu bujang yang menggunakan pengangkutan awam tanpa memiliki kereta pula, jumlah ini boleh menampung perbelanjaan mereka selama 89 tahun. 
Untuk pasangan baru berkahwin
Untuk pasangan yang baru berkahwin tanpa anak, RM2 juta boleh menampung perbelanjaan bersama suami dan isteri selama 37 tahun, cukup sehingga kedua suami dan isteri boleh pencen bersama pada umur 60 tahun. 
Untuk pelaburan
Semua perkiraan ini dibuat tanpa mengira potensi keuntungan yang dapat diperolehi jika wang ini dilaburkan di dalam satu tabung pelaburan yang memberikan pulangan tahunan. 
Jika anda melabur RM2 juta di dalam satu tabung pelaburan yang memberikan pulangan tahunan sebanyak 5% — satu jumlah yang tidak susah untuk dicapai dengan pelaburan yang tepat — pelaburan asal ini akan memberikan pulangan secara purata RM100,000 setahun. Ia lebih daripada mencukupi untuk menampung keperluan asas sebuah keluarga empat beranak. 
Untuk pekerja gaji minimum
Jika semua perkiraan ini tidak menunjukkan kebongkakan Tengku Adnan kepada anda, mungkin kiraan terakhir ini boleh memberikan satu lagi perspektif yang lebih jelas. 
Dengan gaji minimum kebangsaan yang bernilai RM1,200 sebulan, untuk mengumpulkan RM2 juta, anda perlu menyimpan keseluruhan gaji ini tanpa membelanjakan satu sen pun selama hampir 139 tahun!
Adalah satu penghinaan kepada semua rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah, di negara ini apabila Ku Nan mengatakan yang RM2 juta tersebut hanyalah “umpama wang poket” kepada beliau sedangkan kita semua terpaksa bertungkus lumus membanting tenaga setiap hari untuk meneruskan hidup. – Roketkini.com

No comments: