ZAHID HAMIDI SEDANG MENGUJI MUHYIDDIN



Apabila Zahid Hamidi tiba-tiba membuat pengakuan tidak mahu dirinya dipertimbangkan untuk sebarang jawatan dalam pentadbiran kerajaan pintu belakang Muhyiddin Yassin, beberapa persoalan timbul daripada pendirian terbarunya itu.
Lebih-lebih lagi pengakuan itu hanya muncul setelah hampir seminggu Muhyiddin mengangkat sumpah dan hampir seminggu jugalah rundingan UMNO dengan Perdana Menteri telah berjalan berhubung pembentukan kabinet kerajaan.
Dengan itu, banyak persoalan atau keraguan timbul daripada kenyataan Zahid Hamidi itu.
Apakah kenyataan Zahid Hamidi itu menunjukkan beliau sudah gagal berunding dengan Muhyiddin untuk mendapatkan jawatan TPM bagi dirinya?
Jika rundingan gagal dan Zahid Hamidi tidak dilantik sebagai TPM, siapakah calon TPM yang akan dilantik oleh Muhyiddin?
Adakah calon lain daripada UMNO seperti Hishammuddin Hussein atau Mohamad Hassan akan dilantik sebagai TPM?
Ataukah Azmin Ali dan mungkin Hadi Awang bakal mengisi jawatan nombor dua dalam kerajaan itu?
Selain itu, adakah mungkin kenyataan Zahid Hamidi itu suatu “reverse psychology” dan merupakan tekanan halus kepada Muhyiddin untuk tetap memberikannya jawatan dalam kerajaan memandangkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan pemegang blok terbesar Ahli Parlimen dalam Perikatan Nasional?
Secara tidak langsung juga, tindakan Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan di saat-saat akhir Muhyiddin mahu membentuk kabinet itu turut merupakan suatu ujian buat Perdana Menteri sama masih menghormati UMNO atau sebaliknya.
Dengan itu, walaupun kenyataan Zahid Hamidi seolah-olah bertujuan memudahkan Muhyiddin menyusun kabinetnya, muslihat di sebaliknya tidak harus diketepikan begitu saja oleh Presiden Bersatu itu.
Ia bukan saja tentang sama ada Zahid Hamidi akan dilantik sebagai TPM atau tidak, tetapi juga berkenaan berapa jawatan menteri akan diperuntukkan kepada UMNO akhirnya.
Dalam itu, berikutan kenyataan Zahid Hamidi tersebut, secara tidak langsung menjadikan Muhyiddin dalam keadaan serba salah, bukan saja untuk melantik TPM, tetapi juga untuk memberikan UMNO jawatan menteri.
Melantik pemimpin lain selain Zahid Hamidi bagi jawatan itu atau memberikan kerusi menteri yang tidak munasabah dengan jumlah 39 Ahli Parlimen yang dimiliknya, ia mungkin akan mengundang tindak balas yang tidak dijangka daripada UMNO sendiri.
Apalagi, jika yang dilantik itu daripada UMNO juga tiada sebarang jawatan dalam hireaki parti atau bukan yang dicadangkan oleh Zahid Hamidi kepada Muhyiddin.
Akhirnya, buat sementara ini atau dalam pengumuman barisan kabinet yang dijangka diumumkan awal minggu depan, tidak mustahil jawatan TPM akan dikosongkan terlebih dahulu, manakala hanya jawatan menteri saja yang akan diisi.
Muhyiddin mungkin memerlukan lebih masa untuk meredakan keadaan kerana kedudukan Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dan parti itu merupakan pemegang blok terbesar Ahli Parlimen, hakikatnya mengenepikannya lebih mengundang masalah buat Muhyiddin yang kedudukannya sebagai Perdana Menteri sendiri bukanlah atas sokongan yang benar-benar stabil daripada pelbagai blok yang menyokongnya. (ShahbudinHusin 08/03/2020)


No comments: