APABILA PRESIDEN PAS BERCAKAP


AbdulMalek Hussein

Apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, undi tak percaya Perdana Menteri bermakna tak percaya pada Yang di-Pertuan Agong, aku berpendapat beliau tak begitu menggarapi Perlembagaan Persekutuan dan demokrasi berparlimen.‬

‪Pertamanya, fungsi Agong hanya sekadar melantik Perdana Menteri menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.‬

‪Keduanya, perlantikan Perdana Menteri itu boleh tertakluk kepada undi kepercayaan dalam Dewan Rakyat sebagaimana Perkara 43(4).‬

‪Agong boleh melantik Perdana Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang “pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti” Dewan Rakyat. Perlembagaan menyebut “mungkin mendapat kepercayaan majoriti” atau “in his judgment is likely to command the confidence of the majority”.‬

‪Perlembagaan Persekutuan tak sebut Agong hendaklah melantik Perdana Menteri itu seorang ahli Dewan yang “mesti mendapat kepercayaan majoriti” atau “command the confidence of the majority”.‬

‪Demokrasi berparlimen di Malaysia mengamalkan sistem pilihanraya pelbagai parti untuk tujuan menubuhkan Kerajaan. Menjadi kelaziman dalam sistem demokrasi, Kerajaan itu dibentuk oleh parti atau gabungan parti yang mempunyai majoriti setelah pilihanraya. Kerana itu, selama lebih 60 tahun Barisan Nasional boleh berkuasa dan diganti oleh Pakatan Harapan setelah BN kalah dalam pilihanraya umum 2018.‬

‪Namun, pilihanraya belum tentu menjamin kemenangan majoriti secara mutlak kepada mana-mana parti atau gabungan parti. Dalam keadaan demikian, peluang pertama membentuk kerajaan akan diberikan kepada parti atau gabungan parti yang memiliki ahli Parlimen yang lebih banyak atau mengatasi bilangan parti-parti yang lain. Ini menjadi kebiasaan dalam sistem demokrasi berparlimen. Dengan lain perkataan, akan terbentuk Kerajaan minoriti.‬

‪Kerajaan minoriti boleh dibentuk kerana tiada halangan menurut Perlembagaan negara. Tetapi ia boleh tertakluk kepada undi kepercayaan dalam Dewan. Jika kerajaan itu gagal mendapat kepercayaan Dewan, Perdana Menteri bersama Jemaah Menterinya hendaklah meletakkan jawatan.‬

‪Apabila Perdana Menteri letak jawatan, Agong boleh mengikut budibicaranya melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang lain sebagai pengganti yang baru, mengikut kembali Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Agong boleh melantik ahli Dewan Rakyat baru dan boleh melantik semula yang letak jawatan secara sementara (interim).‬

‪Walau bagaimanapun, Perdana Menteri yang letak jawatan boleh meminta Agong membubarkan Parlimen. Jika Agong mempersetujui permintaan itu, maka Parlimen terbubar dan pilihanraya umum diadakan.‬

‪Agong boleh menolak permintaan Perdana Menteri membubarkan Parlimen, seperti menurut Perkara 40(2)(b). Ikut budibicara Agong samada menerima atau menolak permintaan Perdana Menteri dalam soal membubarkan Parlimen.‬

‪Bijak sungguh para penggubal Perlembagaan Persekutuan yang terdahulu memaktubkan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2) berkaitan kuasa Agong melantik Perdana Menteri, dan Perkara 43(4) untuk membolehkan Perdana Menteri dikenakan undi kepercayaan.‬

‪Kesimpulannya, tak berbangkit samasekali bahawa undi tak percaya kepada Perdana Menteri bererti tak percaya kepada Yang di-Pertuan Agong. Berpandangan sedemikian bererti buta Perlembagaan Persekutuan dan demokrasi berparlimen.‬


No comments: