Muslim Eropah rayu Anwar perangi Islamofobia di KL Summit 2019


Dec 24 2019
Pemimpin-pemimpin masyarakat Muslim Eropah merayu Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim untuk bersuara tentang Islamofobia pada sidang kemuncak KL Summit 2019.
Menurut Anwar, beliau baru sahaja bertemu Presiden Forum Muslim Eropah yang menyuarakan hasrat itu kepadanya, 14 Disember lalu.
“Saya sedang mengetengahkan isu-isu terkait Islamofobia dan sedang menggembeleng dukungan dari rakan-rakan dalam rencana ini.
“Kami akan mengutus surat dukungan dari pemimpin-pemimpin Muslim dan surat itu akan ditonjolkan pada sidang kemuncak di KL pada 19 Disember 2019 ini.
“Pemimpin-pemimpin Muslim Eropah melalui Presiden European Muslim Forum Abdul Vakhed Niyazov telah mengajukan kepada saya atas kapasiti sebagai mentor kepada Honorary Board European Muslim Forum untuk mengutuskan surat dukungan kepada kepala-kepala negara Malaysia, Pakistan dan Turki.
“Ketiga-tiga negara tersebut telah bersetuju untuk berpadu di dalam satu kesatuan bagi memerangi gejala Islamophobia di #UNGA (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) tiga bulan yang lalu,” katanya.
Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 adalah satu wadah menghimpun pemimpin, cendekiawan, ulama dan pemimpin Islam untuk berkongsi idea dan mencari penyelesaian kepada masalah umat Islam.
Tiga orang pemimpin Islam mengesahkan kehadiran mereka iaitu Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

No comments: