NASIB HAYAT POLITIK BARU BIAN UMPAMA NASIB @AzminAli DI TANGAN...



Kenyataan berani mati Baru Bian pada 20 Julai sebagaimana dilaporkan berita bahawa "Saya tak tanda tangan dan tidak akan memeterainya," katanya, lapor The Star dalam keadaan majoriti ketua cabang dan pimpinan PKR menyatakan sokongan terhadap presiden Parti PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Anwar) adalah satu kenyataan biadap.

Walaupun selepas itu, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) menukar nada kepada menyokong Presiden dan Timbalan sebagai langkah “play safe”, umum mengetahui bahawa Baru Bian sudah mulai naik tocang selepas memegang jawatan sebagai pengerusi perhubungan negeri Sarawak bagi PKR.

Ini pun berlaku selepas tular bahawa kumpulan yang menyokong Rafizi (yang kuat menyokong Presiden) dan diketuai oleh Iswardy Morni dan Larry Sng akan membuat satu kenyataan akhbar menyatakan sokongan secara terbuka kepada Presiden PKR.

Menyedari desakan ini, MPN secara tergesa-gesa mendapatkan tandatangan ketua-ketua cabang dalam masa sehari sehingga ada ketua cabang dan nama tertera yang di dalam surat tersebut, menurut satu sumber, sebenarnya tidak pernah bersetuju menandatangani apa-apa dokumen sokongan kepada Presiden dan Timbalan Presiden.

Apa yang ramai tidak ketahui ialah Baru Bian dan konco-konconya sudah lama meninggalkan pimpinan di bawah Anwar semenjak PKR di bawah pentadbiran isteri Anwar, Dato’ Seri Dr Wan Azizah (Wan Azizah). Semenjak dipenjarakan di bawah tuduhan liwat pada 2015, dan selepas pemilihan parti 2014, PKR dipimpin oleh Wan Azizah bagi menggantikan tempat suaminya.

Konflik terbesar bermula apabila Azmin menujuk belang apabila berkomplot dengan Pas bagi menaikkan dirinya menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan mengenepikan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR bagi melantik Wan Azizah selaku Menteri besar.

Dengan menggunakan pengaruh Istana dan sokongan Pas, Azmin menggunakan pintu belakang bagi menjadi Menteri besar.

MENGAPA AZMIN DAN BARU MERASAKAN MEREKA AKAN BERKUASA

Pemenjaraan Anwar di bawah akta 377B Kanun Keseksaan menyebabkan Anwar akan kehilangan hak untuk bertanding lagi sebagai seorang Ahli Parlimen apatah lagi menjadi Perdana Menteri seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 41 Fasal 1(e).

Perkara inilah yang menjadikan Azmin merasakan bahawa tidak ada orang lain lagi yang layak menjadi Presiden dan sekaligus bakal perdana Menteri Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat pada ketika itu memenangi Putrajaya.

Beliau dan konco-konconya tidak nampak bahawa Wan Azizah mampu melawan gerombolan kekuatan Azmin, dengan percaturan bahawa Zuraida dan Baru Bian yang akan mengambil alih kuasa Wan Azizah dalam pemilihan parti yang dijangka berlaku sekitar 2017 atau 2018.

Malah Baru Bian telah merancang untuk memohon agar Sarawak diberikan kuasa autonomi seperti DAP Sarawak yang berhak menentukan hala tuju politik mereka sendiri tanpa perlu merujuk keputusan dari pusat.

Ini yang disebut-sebut dan dimahukan oleh Baru Bian dan konco-konconya dan demi memastikan perkara ini berlaku, mereka perlu terus bersama dengan Azmin dan bukan Wan Azizah.

Ini terbukti jelas dalam pilihanraya Negeri Sarawak pada 2016 apabila arahan presiden satu demi satu dilanggar. Tian Chua dan Xavier Jayakumar selaku perancang kerusi dan Baru Bian dan Azmin selaku ketua yang meluluskan, meletakkan calon-calon yang tidak berkemampuan dan berkelayakan pada pilihanraya ini.

Apa yang lebih teruk, arahan presiden agar tidak berlaku pertembungan dengan DAP tidak diendahkan apabila Xavier menolak permintaan DAP bagi memberikan Dun Batu Kitang dengan tukaran beberapa Kawasan yang lain.

Akhirnya, berlaku pertembungan 3 penjuru dengan DAP di 6 kawasan yang kita ketahui menjadi sejarah kekalahan terburuk kepada DAP. Walaupun begitu, pasukan Baru Bian dimalukan oleh DAP di Batu Kitang apabila wakil Cina PKR hilang deposit dengan wakil Melayu DAP di kawasan yang 59% Cina, 22% lain-lain dan hanya 10% Melayu.

Inilah kesan akibat kesombongan pimpinan Baru Bian terhadap presiden parti diserlahkan dengan hilang deposit Voon Shiak Ni di kawasan “mudah” untuk Pakatan Rakyat pada waktu itu menang sekiranya tidak berlaku pertembungan 3 penjuru.

PENUBUHAN PAKATAN HARAPAN DAN PILIHANRAYA UMUM 14

Ramai juga tidak mengetahui bahawa pada saat Presiden Parti, Wan Azizah mahu mengumumkan penubuhan Pakatan Harapan pada 2015, Azmin tetap mahu Selangor bersama dengan Pas.

Azmin pada ketika itu tidak merestui penubuhan Pakatan Harapan dan bersama 25 pimpinan dan ahli parlimen/Dun kelompok Azmin, kini lebih dikenali dengan nama kartel, telah menandatangani surat bagi memecat Wan Azizah dari kerusi presiden kerana tidak kompeten mewujudkan Pakatan Harapan.

Ini diakui sendiri oleh Rafizi Ramli yang menerima surat tersebut memandangkan beliau adalah setiausaha agung pada ketika itu.

Namun, perancangan Wan Azizah dan Rafizi ternyata lebih licik dan surat tersebut disimpan sementara kerana ia diserahkan pada waktu hampir sambutan hari raya haji. Selepas hari raya haji, maka pengumuman Pakatan Harapan dilangsungkan dan terlucutlah cita-cita Azmin, Zuraidah dan Baru Bian mahu menjatuhkan Wan Azizah.

BARU BIAN DAN SELANGAU. NASIB SI LUNCAI

Pernah kita bertanya kenapa Baru Bian bertanding di Selangau dan bukan di Lawas, tempat beliau menjadi Adun? Jawapan kepada persoalan ini mudah. Di Lawas, Baru Bian mungkin mendapat sokongan dari golongan Lun Bawang dan pengundi Ba’kelalan, tetapi bukan dari golongan Melayu dari Dun Bukit Sari.

Inilah kekurangan Baru Bian. Beliau bukan seorang pemimpin Sarawak yang dapat dilihat membimbing dan mentadbir seluruh bangsa dan agama. Beliau hanya mampu untuk mentadbir beberapa kelompok etnik sahaja.

Rakyat Sarawak tidak dapat merasa bahawa Baru Bian adalah pemimpin rakyat. Malah golongan majoriti Iban dan Bidayu sekalipun tidak nampak kredibiliti Baru Bian mampu menjadi pemimpin mereka apatah lagi golongan Cina.

Berbalik kepada kenapa Selangau, bagaimana Baru Bian boleh menang? Jawapannya mudah. Ini berlaku kerana beberapa faktor:

1. Faktor Joseph Entulu – Jospeh Entulu pada masa tersebut telah dipecah dari parti beliau. Seperti yang diketahui Joseph adalah seorang berpengaruh di Selangau. Apabila namanya hendak digugurkan dari calon PRU beliau membuat pengumuman menyatakan bahawa akan bertanding bebas. Ini menyebaban beliau dan beberapa orang lain dipecat dari parti. Namun akhirnya mereka merubah strategi dengan tidak bertanding tetapi sebaliknya membuat protest vote dan memberikan undi kepada Baru Bian.

2. Faktor Awang Tengah – Lawas merupakan kubu kuat Awang Tengah. Baru Bian bukan sahaja tidak mampu mentadbir PKR Sarawak, malah cabang beliau sendiri tidak kuat. Beliau dilihat menyishkan Timbalan Ketua Cabang, Haji Japar yang merupakan orang lama di dalam parti PKR dan mempunyai pengaruh di kawasan Melayu. Apabila Hj Japar disisih dari cabang Lawas dan kepimpinannya, maka sokongan orang Melayu yang diperlukan oleh Baru Bian bagi menghadapi parlimen itu hampir langsung tidak ada.

3. Tiada tempat lain sesuai termasuk Miri – Baru Bian, sebelum melihat kepada Selangau telah terlebih dahulu pergi ke kerusi Miri. Apa yang tidak diketahui umum, Baru Bian pernah meminta Dr Micheal Teo pada PRU yang lalu untuk tidak bertanding dan memberi laluan kepada dirinya di kerusi Miri. Malah Baru Bian turun ke pasar Miri dan kononnya membuat survey dan mendapati bahawa sokongan kepada Dr Teo di Miri sudah tiada dan beliau pasti akan kalah sekiranya bertanding pada PRU ke 14 yang lepas. Permianan kotor Baru Bian ini bukan sahaja tidak berjaya, malah ia jelas melesat apabila Dr Micheal Teo menang lebih besar dengan jumlah 61.8% berbanding dengan 51.6% pada PRU ke 13.

4. Datuk Sng – Faktor besar kenapa Baru Bian mampu dan mahu bertanding di Selangau ialah kerana dana dari seorang jutawan bernama Datuk Sng. Datuk Sng memberikan dana dengan tukaran kerusi di Julau. Sekiranya kita lihat, kerusi di Julau, yang tradisinya kerusi PKR, diputuskan oleh Baru Bian dan Azmin agar tidak ditandingi. Yang bertanding di Julau hanya Larry (anak Datuk Sng) dan wakil BN. Dalam perjanjian, sekiranya Larry menang, beliau akan menyertai PKR dan Larry memang menunaikan janji dengan menyertai PKR dan kemasukkannya disambut oleh Zuraida serta Azmin (rujuk berita 12 Mei 2018 apabila kemasukan Larry dan Jugah disambut oleh Zuraida). Namun, Larry dan Jugah akhirnya dibuang oleh pasukan Azmin dan Baru Bian, malah diboo dan dihina kerana mereka menyatakan sokongan terbuka kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan bukannya Azmin Ali.

Malah walau dengan pelbagai faktor ini, Baru Bian hanya mampu memenangi sebanyak 486 undi berbanding calon Barisan Nasional. Bayangkan sekiranya beliau terpaksa menentang Joseph Entulu pada pilhanraya ke 15 akan datang nanti. Apakah nasibnya akan sama seperti sebelum ini. Ingat, semangat dan sentimen PH di Semenanjung dan Sabah jangan sesekali disamakan dengan PH di Sarawak. Ia amat jauh sekali.

KE MANA BARU BIAN PADA PRU15

Cita-cita tinggi itu tidak menjadi masalah. Namun, apabila ia dilaksanakan dengan cara kotor, maka kesannya juga akan menjadi kotor.

Untuk kekal menjadi ahli parlimen, Baru Bian mesti mengekalkan kerusi parlimen. Joseph Entulu telah menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan sudah pasti akan bertanding di Selangau. Lawas adalah suatu yang sukar buat Baru Bian walaupun Awang tengah tidak bertanding lagi (sekiranya) kerana dia tidak mempunyai sokongan kuat di kawasan Melayu yang mempunyai pengundi seramai 12,418 orang berbanding Ba’kelalan yang hanya mempunyai 7,375 pengundi.

Apakah Miri? Mustahil Dr Teo akan melepaskan kerusi tersebut, sekurang-kurangnya untuk satu atau 2 penggal lagi. Jadi di mana kawasan yang kuat bagi Pakatan harapan dan PKR?

Jawapannya TIADA.

Baru Bian juga tidak digemari oleh Anwar setelah dibebaskan, malah Anwar mahu menukar Baru Bian kepada Ali Biju menjadi Pengerusi Negeri Sarawak yang lepas sebelum ditentang oleh pengikut Baru Bian.

Berkemungkinan besar, sekiranya Azmin jatuh kerana video lucah beliau, politik Baru Bian boleh dikatakan telah berakhir. Sekiranya dia jatuh, maka pengikutnya seperti See Chee How, Hj Baharudin, Vernon, Willie Mongin, Ali Biju, Nazib Johari, Joshua Jabeng, George Chen dan lain-lain juga akan jatuh dan gugur. Ini kerana nama-nama ini telah naik dan dicanangkan sebagai penyokong kuat Baru Bian dan penentang kuat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

PENUTUP

Pada lawatan pertama Anwar ke Kuching selepas pembebasan di Hilton, Anwar menyebut secara jelas bahawa watikah calon ditentukan oleh beliau selaku presiden. Ini seolah-olah menjadi satu amaran keras kepada pimpinan Sarawak yang sebelum ini menggunakan watikah “palsu” untuk meletakkan calon mereka sendiri dan secara sendirinya berunding kerusi kepada parti lain tanpa persetujuan pusat.

Kita lihat sama ada Baru Bian sanggup merendahkan ego beliau, atau beliau masih lagi berasa besar dan akan terus melawan arus dan presiden. Kita lihat sama ada beliau akan jatuh, sebagaimana jatuhnya Dominic Ng di tangan-tangan ghaib kumpulan Baru Bian ini atau dia mahu berdegil dan melihat perjalanan politiknya mati perlahan-lahan.

- Catherine Jiwa


No comments: