Pas semakin lupakan hudud demi kuasa?
Selepas pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai Pas semakin galak berhujah kerjasama parti itu dengan MCA adalah bagi tujuan mengembangkan dakwah Islam kepada parti ultra-kiasu Cina terbabit.
Namun bagi Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang, hujah tersebut dangkal dan tidak disokong mana-mana fakta. Katanya, Pas suatu ketika dahulu juga berdakwah dengan DAP tetapi memilih untuk meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) pada 2015.
“(Kerjasama itu) tidak ada kena mengena mahu memperkenalkan Islam kepada MCA. Dalam Pakatan Rakyat dahulu lebih banyak diperkenalkan kefahaman Islam kepada DAP kerana kita dapat gambarkan Islam itu sebagai agama yang membawa keadilan kepada semua.
“Dahulu dengan kefahaman yang betul. Sekarang ini apa kena mengena Pas dengan MCA. Pas cuma ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Sebaliknya, menurut Ahmad lagi kerjasama baharu ini lebih buruk kerana sewaktu dalam PR, DAP tidak menghalang Pas berpegang kepada perjuangan menegakkan Hudud. Namun apabila bersama MCA Pas mula berkata sukar untuk melaksanakan Hudud di Malaysia, sama seperti yang diucapkan para pemimpin Umno sejak sekian lama.
“Perubahan perjuangan utama, hudud, menunjukkan Pas telah merosakkan perjuangan parti itu, kerana sudah terbalik sehingga 180 darjah. Dulu kata Hudud mesti dilaksanakan sekarang kata sukar. Sekarang Pas10 kali liberal apabila kata sukar untuk menegakkan Hudud,” sambungnya.
Baru-baru ini Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mengakui sukar untuk melaksanakan hukum Hudud di Malaysia sehingga pemerhati politik mendakwa parti berkenaan telah bergerak ke arah pragmatik sebagai mana polisi umum BN dan melupakan perjuangan asal demi mencapai impian menguasai Putrajaya.
Sehubungan itu, Ahmad menggesa ahli akar umbi Pas menilai kejujuran pemimpin parti berkenaan untuk memperjuangkan Islam. Beliau kesal kerana ahli Pas amat fanatik sehingga tidak mampu berfikiran terbuka dan menilai tindak-tanduk pemimpin mereka yang sedikit demi sedikit tenggelam dalam falsafah perjuangan BN, yang suatu ketika dahulu difatwakan sebagai sesat.
“Pas sudah rosakkan perjalanan parti kerana orang bawah dan tengah semua percaya cakap pimpinan. Apa juga yang diperkatakan tidak masuk akal mereka terima.
“Alasan mereka perpaduan ummah. Tetapi mengapa perpaduan ummah sampai mengubah perjuangan. Di PRK Tanjung Piai mengapa sampai sembahyang hajat munajat untuk memenangkan calon bukan Islam?” soal beliau.
Justeru, beliau turut menasihati agar ahli Pas agar tidak terlalu taksub dengan perjuangan politik sehingga mencampur adukkan urusan ibadah dengan politik kepartian.
“Sampai campurkan urusan ibadah sembahyang. Janganlah sampai bermunajat mendoakan dengan cara begitu. Sekadar nyata sokongan dalam kempen dan harap kemenangan sudahlah. Bila sembahyang itu ibadah,” sinisnya.