Alkisahnya, SPRM hantar surat kepada Lembaga Disiplin Parti Keadilan dan melaporkan tentang salahlaku Ketua Cabang Bera, Sdr Zakaria berkaitan isu rasuah sewaktu pemilihan parti yang lalu.
Pengerusi Lembaga Disiplin membawa surat tersebut ke mesyuarat MPP yang tidak dihadiri oleh beberapa ahli MPP penyokong Azmin termasuk Azmin serta Sdr Zakaria sendiri, kecuali YB Daroyah yang hadir.
Lembaga Disiplin mencadangkan pemecatan ke atas Sdr Zakaria kerana menganggap isu rasuah adalah isu besar dan berat buat parti Keadilan, apatah lagi laporan itu datangnya dari SPRM. Anwar selaku Presiden, beliau mahu melihat sendiri laporan tersebut sebelum MPP membincangkan tindakan selanjutnya. Laporan itu dibacakan untuk pendengaran semua ahli MPP yang hadir ketika itu. Anwar secara peribadi mencadangkan hukuman lebih ringan iaitu di'gantung' sahaja keahlian Sdr Zakaria dan beliau boleh membuat rayuan. Namun, majoriti ahli MPP ketika itu memikirkan bahawa kesalahan yang dilaporkan oleh SPRM itu bukan kesalahan kecil dan ini memalukan parti.
Majoriti mahu Sdr Zakaria dipecat dan beliau diberi peluang untuk membuat rayuan. Seandainya kesemua ahli MPP berdisiplin dan bertanggungjawab untuk hadir mesyuarat yang diwajibkan ke atas mereka itu, saya fikir banyak keputusan positif dapat dicapai secara kolektif. Malangnya, ini tidak berlaku sekian lama. Apa ertinya majoriti tapi majoriti yang tidak berani berhadapan dengan minoriti dalam mesyuarat?
Apa pilihan yang Anwar ada? Adakah Anwar hanya mahu mengabaikan laporan SPRM tersebut? Adakah Anwar mahu memaksa semua ahli MPP ikut cadangannya agar Sdr Zakaria hanya perlu digantung? Kalau itu berlaku, itu bukan Anwar yang kita kenali.
Adakah parti perlu berdiam diri sehingga Sdr Zakaria dan kawan2nya dari kumpulan Azmin ada kelapangan untuk hadir mesyuarat barulah ianya dibincangkan? Mana lebih penting, parti atau kumpulan serta puak? Parti harus berjalan terus.
Bayangkan kalau parti tidak bertindak langsung ke atas laporan tersebut, apakah pandangan masyarakat terhadap parti yang dipimpin oleh Anwar ini? Apabila SPRM menyatakan kemudian bahawa pihaknya 'terkhilaf' kerana sepatutnya surat itu tidak dihantar kepada parti kerana itu bukan cara atau kaedah SPRM berurusan dengan kes2 sedemikian, namun SPRM sehingga kini tidak menafikan isi kandungan laporan tersebut.
Apabila isi kandungan itu masih diperakui oleh SPRM, maka wajarlah parti bertindak berpandukan laporan tersebut.
Sekiranya laporan itu bagi fikiran Sdr Zakaria adalah salah atau fitnah terhadapnya, sewajarnya Sdr Zakaria menfailkan saman terhadap SPRM. Beranikah beliau berbuat demikian?
Mengapa Anwar perlu mohon maaf sekiranya dianggap laporan itu palsu atau fitnah? Bukankah sebaiknya mereka menuntut SPRM agar menarik balik kandungan surat itu dan memohon maaf bukan sahaja kepada Sdr Zakaria tetapi kepada parti Keadilan juga kerana kes ini menjejaskan imej parti di mata rakyat.
Selaku Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang terlalu mengenali Sdr Zakaria dan rapat dengannya sewaktu di dalam parti dulu perlu memohon maaf kepada sahabatnya itu dan bekas partinya dulu kalau laporan SPRM itu tidak betul atau bersifat 'nakal'. Mengapa Anwar perlu pikul biawak hudup?
WFAUZDIN NS