KENYATAAN MEDIA BIRO GUAMAN AMK

KENYATAAN MEDIA

Oleh:

BIRO GUAMAN DAN UNDANG-UNDANG ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

29HB NOVEMBER 2019

PERLUCUTAN PENGERUSI TETAP DAN TIMBALAN PENGERUSI TETAP BAGI MEMPERBETULKAN KEKHILAFAN PEMILIHAN INDIVIDU YANG MELEBIHI HAD UMUR MENJADI ANGGOTA AMK

Pemilihan Muhamad Mizan Adli Mohd Noor sebagai Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (“AMK”) dan Mohd Ramly bin Ahmad sebagai Timbalan Pengerusi Tetap AMK pada 16 November 2018 adalah tidak sah dari awalnya (void ab initio). 

Fasal 25.1 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat meletakkan had umur bagi anggota AMK pada 35 tahun. Selain itu, Perkara 5.1 Peraturan AMK juga menjelaskan bahawa anggota AMK tidak boleh melebihi umur 35 tahun pada 31 Disember pada tahun berkenaan. Perkara 5.3 Peraturan AMK turut menjelaskan bahawa hanya anggota AMK (iaitu seorang yang tidak melebihi umur 35 tahun) boleh dilantik untuk memegang jawatan AMK.

Fakta yang diketahui umum ialah tarikh lahir Muhamad Mizan Adli Mohd Noor adalah pada 3 Oktober 1983 manakala Mohd Ramly bin Ahmad pada 13 Mei 1980. Muhamad Mizan Adli Mohd Noor telah berusia 35 tahun 2 bulan dan Mohd Ramly bin Ahmad ialah berusia 38 tahun 7 bulan pada tarikh 31 Disember 2018. 

Oleh yang demikian, mereka tidak layak untuk menjadi anggota AMK apatah lagi memegang apa jua jawatan AMK atas faktor usia mereka yang telah melebihi 35 tahun pada 31.12.2018.

Perkara 5.2 Peraturan AMK yang dirujuk oleh Y.B. Muhammad Hilman Bin Idham adalah tidak tergunapakai dalam kes ini. Peraturan tersebut hanya terpakai kepada seseorang anggota AMK yang dipilih selaras dengan Perkara 5.1 dan 5.3 Peraturan AMK (berusia di bawah 35 tahun pada tahun pemilihan) di mana dia akan dibenarkan untuk memegang jawatan sehingga tamat tempoh khidmat walaupun telah melebihi usia 35 tahun.

Pelucutan jawatan-jawatan tersebut perlu dibuat bagi memperbetulkan pemilihan yang tidak sah dan juga secara jelas melanggar perlembagaan parti. Sekiranya tindakan tidak diambil, kekhilafan ini berkemungkinan akan menjejaskan status pendaftaran parti dengan ROS.

CHIEW CHOON MAN
Pengerusi Biro Guaman dan Undang-Undang
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
Parti Keadilan Rakyat