KUALA LUMPUR 16 MEI : Seperti yang dijangka, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Anwar Ibrahim untuk membela diri atas pertuduhan liwat fitnah kedua.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zabidin Mohamad Diah memutuskan bahawa pihak pendakwaraya berjaya mengemukakan bukti-bukti "prima facie" dan Ketua Pembangkang itu perlu membela diri.
Zabidin menetapkan 6 hingga 30 Jun ini bagi Anwar membela diri atas pertuduhan liwat fitnah kedua itu.
Zabidin mendakwa keterangan pengadu Saiful Bukhari Azlan boleh diterima sebagai kebenaran dan beliau seorang yang "berwibawa".
Saiful antara lain, memberitahu mahkamah beliau sempat makan karipap dan minum kopi setelah "dipaksa" oleh Anwar melakukan jenayah itu.
Dalam penghakiman hampir sejam itu, Zabidin menerima segala keterangan Saiful, tiga pakar-pakar dan penemuan ujian DNA sebagai sebagai bukti kukuh untuk mengarahkan Anwar membela diri.
Reaksi awal peguam Anwar, Sivarasa Rasiah adalah "keputusan sudah dijangkakan, apabila hakim mengatakan beliau menerima keterangan Saiful sebagai kredibel."
Dalam hujahnya, Zabidin berkata beliau menerima bahawa sampel-sampel DNA melalui proses kerosakan kerana disimpan terlalu lama, namun ia tidak mencalar keputusan ujian yang dilakukan.
"Kes prima facie telah dibuktikan ke atas tertuduh" kata Zabidin di akhir penghakimannya.
Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan rotan jika sabit kesalahan.
Ratusan penyokong Anwar tiba seawal jam 4.30 pagi dan berkumpul ke Masjid Kuala Lumpur yang terletak bersebelahan kompleks mahkamah bagi menunjukkan sokongan mereka kepada ketua pembangkang itu.
Mereka juga bersarapan nasi lemak yang berbungkuskan akhbar Utusan Malaysia sebagai protes simbolik mengenai peranan akhbar milik Umno yang didakwa menyiarkan pelbagai fitnah dan pembohongan terhadap Pakatan Rakyat.
Penyokong juga menunaikan solat hajat subuh sebelum beredar ke mahkamah. Ada yang datang sejauh dari kawasan kerusi parlimen Anwar di Permatang Pauh dan terdapat juga beberapa bas yang dari Gopeng, Perak.
Beberapa anggota pemuda PKR membantah tindakan pihak polis yang membuat sekatan jalan ke perkarangan kompleks Mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur, pagi ini.
Ratusan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat masuk ke bilik perbicaraan kemudian menyantikan lagu 'ole ole' dengan lirik 'bebas, bebas, bebas, bebas, bebas Anwar, bebas Anwar'.
Mereka juga membawa sepanduk yang tertera "Hapuskan Politik Fitnah", " Rakyat Bangkit Lawan Fitnah" dan mesej-mesej lain yang menuntut keadilan untuk ditegakkan.