Nur Manuty : Islam Tegah Umatnya Lakukan Kehancuran Apatah Lagi Berbunuhan




SHAH ALAM 15 MEI : Islam adalah agama yang cintakan keamanan dan menegah umatnya daripada melakukan kehancuran di atas muka bumi Tuhan.

Malah Islam menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing seperti firman Allah S.W.T dalam Al-Quran.

Berlandaskan hujah itu, Ketua Penerangan PKR, Dr Mohd Nur Manuty berkata, adalah tidak wajar seorang Islam mahu menganjurkan suatu pertumpahan darah yang hanya membinasakan umat manusia tanpa alasan yang benar-benar kukuh.

" Islam agama yang mahukan keamanan. Semua manusia yang berlainan agama diperuntukkan dalam Al-Quran, haram darahnya kalau kita membunuh manusia. Satu nyawa yang hilang seolah-olah kita membunuh semua manusia," kata Manuty.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang menyatakan kesediaannya melancarkan perang salib ke atas penganut Kristian yang didakwa mahu merampas kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Hakikatnya paderi Kristian yang didakwa mengadakan perbincangan mengenainya menafikan bahawa wujud dakwaan seperti yang dilaporkan media kawalan Umno, Utusan Malaysia awal bulan ini.

Menurut Nur, tindakan Ibrahim Ali yang juga ahli parlimen Pasir Mas itu mengeluarkan kenyataan sedemikian hanya bertujuan untuk "memanaskan" keadaan.

" Untuk provokasi lah tujuannya. Hendak timbulkan ketegangan supaya nanti dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan
Rakyat,"katanya.

Sementara itu, menurut ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, tindakan Ibrahim Ali yang mengugut mahu melancarkan perang jihad menunjukkan yang beliau sendiri tidak menghormati teras agama Islam itu sendiri.

" Ini lah masalah kita dari dahulu sampai sekarang. Orang yang bukan Islam, mereka tidak boleh gugat Islam, yang menggugat Islam ialah orang Islam sendiri yang tidak mengamalkan Islam termasuklah Ibrahim Ali,"katanya.

" Orang Kristian sudah katakan sebelum ini mereka memang tidak ada niat untuk cabar kedudukan Islam. Apa yang mereka mahukan ialah hak mereka untuk mengamalkan agama mereka dan itu memang suatu hak yang dijamin oleh Islam,"tambahnya lagi.