Rakyat Hargai Keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat




PETALING JAYA 15 MEI: Keprihatinan kerajaan negeri Selangor dalam menaik taraf penginapan kos rendah di negeri ini merupakan suatu usaha yang dinantikan oleh rakyat sejak sekian lama.

Bagi penduduk Pangsapuri Taman Maju Jaya, petaling Jaya Selatan, projek pengindahan kawasan kediaman mereka yang dahulunya suram, sememangnya berita yang cukup mengembirakan.

Dengan adanya pertambahan infrastruktur yang disediakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, ia pastinya lebih memudahkan kehidupan seharian penduduk.

Salah seorang penduduk, Muslifah Tajuddin melahirkan rasa terharu beliau di atas keprihatinan yang ditonjolkan oleh kerajaan negeri terutama Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua, terutamanya daripada PKR dan kerajaan negeri. Saya harap projek ini tidak terbengkalai di sini sahaja. Kami berharap agar Datuk Seri (Anwar) selaku Penasihat Ekonomi Negeri memantau dari semasa ke semasa bersama MBPJ,” katanya.

“Ini adalah kali pertama projek sebesar ini diadakan di flat kita, khususnya Blok C. Kita juga berterima kasih lebih-lebih lagi kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diharapkan selepas ini apa keperluan asas penduduk diberikan perhatian.

Setelah hampir 20 tahun tinggal di kawasan ini, ini merupakan kali pertama mereka mendapat perhatian yang selama ini diharapkan, ujar Mohd Akram Manap.

“Sebagai penduduk tempatan yang menetap hampir 20 tahun di sini, ini adalah kali pertama pemberian yang sangat bertuah. Selaku wakil penduduk juga saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid yang komited dalam membantu penduduk rumah kos rendah,” katanya.

Sementara bagi Hatijah Tajuddin, kawasan kediaman mereka akan bertambah ceria dan berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan.

“Kita berterima aksih di atas sumbangan yang selama ini kami nantikan. Selepas ini kawasan kami akan bertambah cantik, Alhamdulillah,” katanya.

Kerajaan Selangor melancarkan program pemulihan bandar untuk menaik taraf penginapan kos rendah yang dibina dalam keadaan serba kekurangan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang lalu.

Pengubahsuaian itu antara lain membabitkan penerapan ciri-ciri insani termasuk kawasan permainan kanak-kanak, ruang istirehat bagi penghuni dengan reka bentuk kediaman bertingkat dan yang moden dan mesra pengguna.

Bangunan pangsapuri terbabit juga akan dicat semula dengan warna yang dipersetujui bersama oleh penduduk terbabit.

Projek ini juga akan diperluaskan ke seluruh negara jika Pakatan Rakyat diberi mandat menubuhkan kerajaan persekutuan pada pilihanraya umum akan datang.

Projek perintis pembaharuan Pangsapuri Taman Maju Jaya ini dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dan pihak swasta yang turut menyumbang khidmat perunding dan reka bentuk pemuliharaan secara percuma sebagai tanggungjawab sosial mereka.