Kes Anwar : Najib, Rosmah Dan Musa Hassan Akan Dipanggil




KUALA LUMPUR 16 MEI : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan akan dipanggil sebagai saksi pada perbicaraan liwat fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan depan.
Ketua Pembangkang itu berkata beliau sudah menjangka Hakim Zabidin Mohamad Diah akan mengarahkannya untuk membela diri atas tuduhan itu namun terkejut kerana Zabidin memberi penghakiman seolah-olah beliau sudah pun didapati bersalah,
Dalam memberi keputusan itu pagi tadi, Zabidin menerima sepenuhnya semua bukti pendakwaraya, termasuk keterangan Saiful dan pakar-pakar perubatan dan pegawai polis yang sering bercanggah dan mengelirukan.
Contohnya Saiful mendakwa beliau “dipaksa’ melakukan liwat itu namun mengakui selepas kejadian itu, beliau minum kopi dan makan karipap sebelum pulang ke rumah.
Beliau juga mendakwa tidak membuang air besar selama 48 jam namun doktor yang memeriksanya mendapati dubur Saiful kosong.
Hakim Zabidin bagaimanapun mendapati Saiful seorang saksi yang bercakap benar dan berwibawa.
Zabidin juga bersetuju bahawa sampel-sampel DNA rosak kerana disimpan terlalu lama tetapi menegaskan kerosakkan itu tidak menjejaskan hasil keputusan.
“Saya tidak terkejut (dengan keputusan) namun apa yang mengejutkan ialah beliau (Zabidin) seolah-olah sudah pun membuat keputusan penuh perbicaraan dan menjangkaui skop prima facie untuk memanggil pembelaan para tahap ini,” Anwar memberitahu pemberita.
“Ini menjadikan kedudukan pihak pembela (untuk menyediakan pembelaan) begitu genting,” kata Anwar.
“Kita akan pertahankan pendirian kita. Kita akan memanggil saksi termasuk Najib, Rosmah, Musa Hassan dan Mumtaz (Jaafar),” tambah Anwar.
Mumtaz adalah rakan karib kepada Rosmah dan dipercayai terbabit dalam mengatur pertemuan antara pengadu Saiful Bukhari Azlan dan Rosmah.
“Adalah jelas bahawa Najib, Rosmah, dan Musa terbabit dalam kes ini,” kata Anwar.