Wawasan tuduh ‘tangan ghaib’ tapi RoS dedah Bersatu sendiri mengadu tentang PN

 


Dakwaan Parti Wawasan Negara (Wawasan) mengenai kemungkinan wujud ‘tangan ghaib’ di sebalik penggantungan semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) bercanggah dengan kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), yang mengesahkan tindakan itu berkait aduan rasmi dikemukakan Bersatu sendiri.

Wawasan sebelum ini mempersoalkan sama ada terdapat campur tangan tertentu di sebalik dua notis RoS terhadap PN, lebih-lebih lagi apabila tindakan berkenaan berlaku hampir serentak dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Parti itu turut mendakwa penggantungan PN bermotifkan politik dan bertujuan menyekat blok pembangkang itu daripada menghadapi PRN Melaka Ke-16.

Bagaimanapun, kenyataan rasmi RoS hari ini menjelaskan notis dikeluarkan pada 22 September lalu bertujuan mendapatkan penjelasan PN berhubung aduan yang dilaporkan oleh Bersatu kepada jabatan berkenaan, bukannya berdasarkan aduan daripada parti di luar gabungan itu.

Malah, isu berkenaan bukan baru timbul ketika DUN Melaka dibubarkan.

Rekod menunjukkan RoS sudah mengesahkan pada 11 Ogos lalu bahawa jabatan itu menerima aduan rasmi Bersatu berkaitan kedudukan parti tersebut dalam PN.

Antara perkara dibangkitkan Bersatu ialah dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai, selain persoalan mengenai status keanggotaannya dalam gabungan pembangkang berkenaan.

Ketika itu, RoS memaklumkan perkara tersebut akan diteliti berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, peraturan berkaitan, perlembagaan pertubuhan dan rekod rasmi jabatan.

RoS kemudian mengeluarkan notis mengikut Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 pada 22 September dan memberikan tempoh munasabah kepada PN untuk menjawab perkara dibangkitkan.

Jabatan itu menegaskan notis tersebut bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN.

Menggantung

Susulan notis berkenaan, RoS mengeluarkan perintah di bawah Subseksyen 13(2A) yang menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September.

Menurut jabatan itu, langkah berkenaan bertujuan menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan gabungan berkenaan menerima dua notis RoS bertarikh 22 dan 23 September.

Bagaimanapun, PN, ujarnya, tidak bersetuju dengan asas tindakan berkenaan dan memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabarnya.

Takiyuddin turut tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN mempunyai unsur tekanan politik atau agenda berniat jahat, manakala Wawasan menegaskan parti itu akan terus bekerjasama dengan parti-parti komponen lain bagi memastikan persediaan menghadapi PRN Melaka diteruskan seperti dirancang.

Setakat ini, RoS pula meminta semua pihak merujuk maklumat rasmi dan mengelakkan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan PN.





No comments: